Oleh: Umirul Ilyamaisara Rahmat
Tanjong Malim- Bertemakan konsep ‘Orang dolu-dolu‘, Majlis Anak Johor (M@JOR) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menganjurkan program ‘Hari Interaksi Anak Johor 2024’ yang dihadiri lebih 500 orang pelajar anak Johor yang belajar di UPSI. Program yang berlangsung pada 27 Januari di Panggung Percubaan, UPSI merupakan kerjasama Kerajaan Negeri Johor melalui Yayasan Pelajaran Johor dan Institut Dato’ Onn.
Menurut Pengarah Program merangkap Timbalan Yang-Dipertua Majlis Anak Johor Sidang 2023/2024, Lyana Ellysha, program berimpak tinggi seperti ini merupakan inisiatif M@JOR dalam merapatkan ukhwah antara mahasiswa anak-anak Johor tanpa mengira bangsa dan agama serta hubungan Kerajaan Negeri Johor bersama Mahasiswa Anak Johor dan pengurusan Universiti. Oleh itu, M@JOR mengambil peluang menjemput Yayasan Pelajaran Johor dan Institut Dato’ Onn sebagai panel bagi ted talk dalam slot Ramah Mesra bagi program ini untuk mendedahkan peranan bagi badan kerajaan dalam menjaga mahasiswa Johor di IPT di Malaysia.
“Majlis Hari Interaksi Anak Johor 2024 ini merupakan wadah untuk kita mengenali dan menyaksikan kemampuan dan kecemerlangan mahasiswa/i anak jati Johor yang bertandang menuntut ilmu di bumi Mualim ini. Majlis ini turut menjemput seluruh mahasiswa/i anak jati johor untuk berkumpul saling kenal mengenali antara satu sama lain bersama Kerajaan negeri di satu dewan yang penuh gah ini. Sikap persaudaraan dan ukhwah sewajarnya dipupuk bagi mewujudkan talian persahabatan yang erat dan murni,“ katanya.
Program ini juga dihadiri oleh Timbalan Pendaftar Kanan, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Maskana Ahmad, menzahirkan rasa bangga kerana program ini mendapat sambutan yang sangat meriah dan luar biasa daripada mahasiswa anak Johor, pihak kerajaan Negeri Johor mahupun warga Muallim. “Program ini memberi impak yang sangat tinggi kepada mahasiswa anak Johor untuk mendapatkan maklumat berkenaan biasiswa, kelebihan yang ditawarkan hanya kepada anak Johor dan keistimewaan yang boleh diperoleh badan-badan kerajaan ini,” katanya lagi.
Yang Berhormat Mohd Yusla Ismail, ADUN Senggarang selaku ADUN Angkat Majlis Anak Johor (M@JOR) UPSI turut hadir bagi merasmikan program Hari Interaksi Anak Johor 2024. “Menyambut baik hasrat kerajaan Negeri Johor yang melantik saya sebagai ADUN Angkat bagi Persatuan Majlis Anak Johor UPSI bertujuan untuk mewujudkan jalinan strategik di antara mahasiswa anak-anak Johor bersama pemimpin-pemimpin negeri Johor. Justeru itu, dengan adanya Persatuan Majlis Anak Johor ini telah menjadi medium utama kepada anak-anak Johor UPSI dalam mendedahkan usaha murni Kerajaan negeri menggalakkan mahasiswa yang berilmu berbakti kepada negeri Johor. Kehadiran mahasiswa dan mahasiswi Anak Kandung Suluh Budiman pada malam ini di Majlis Hari Interaksi Anak Johor sememangnya mengeratkan ukhuwah antara kita semua,” katanya sewaktu perasmian.
Program ini diserikan lagi dengan menjemput penyanyi terkenal tanah air iaitu Najwa Latif yang menjadi nostalgia anak-anak muda masa kini. Beliau menyampaikan tiga buah lagu yang cukup terkenal di stesen radio mahupun kaca TV, iaitu Cinta Muka Buku, Carta Hati dan Tak Kisah Pun. Tidak lupa persembahan tarian Zapin sebagai lambang budaya Johor sendiri yang dipersembahkan oleh kumpulan Destar Limar UPSI. Persembahan kemuncak ini disambut baik oleh seluruh warga yang hadir pada malam tersebut.
Diharapkan program ini sedikit sebanyak telah memberi pendedahan kepada anak Johor UPSI tentang pelan strategik Kerajaan Negeri Johor dalam merebut segala peluang yang diberikan khususnya kepada mahasiswa UPSI sebelum dan selepas bergelar graduan.