Oleh: Ainin Sofiya, Nur Syamimi Athilah & Intan Zhulaikha
UPSI, Tanjong Malim- Exco Agrikultur Majlis Mahasiswa Kolej Aminuddin Baki (KAB), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sidang 2023/2024 telah mengadakan transformasi kebun melalui projek lestari bagi menuju ke arah pertumbuhan hijau serta meningkatkan kemampanan dan daya tahan yang bertempat di Kebun Kolej Aminuddin Baki, Kampus Sultan Azlan Shah pada 27 Januari lalu. Projek ini turut melibatkan 40 peserta terdiri daripada barisan Majlis Mahasiswa Kolej, rakan exco dan penghuni Kolej Aminuddin Baki.
Projek Lestari Kebun KAB ini bermula dengan aktiviti gotong royong membersihkan kawasan kebun dan menanam pelbagai tanaman seperti pokok bendi, serai dan pokok limau kasturi di sekitar kebun Kolej Aminuddin Baki. Projek Lestari Kebun KAB ini juga disambut baik oleh pengetua, barisan pentadbiran dan felo sebagai langkah kelestarian alam sekitar. Selain itu, projek ini mampu memberi peluang untuk menjana sumber pendapatan sampingan dalam kalangan Majlis Mahasiswa Kolej Aminuddin Baki sidang 2023/2024.
Objektif utama projek ini adalah bertujuan mempelbagaikan hasil tanaman pokok yang ada di kebun Kolej Aminuddin Baki di samping memberi pendedahan dan kemahiran asas dalam bidang pertanian sekaligus menjadi inisiatif ikhtiar hidup kepada mahasiswa dan mahasiswi UPSI dengan keperluan asas yang diperlukan dalam kehidupan seharian.
Projek Lestari Kebun KAB ini juga dilakukan bertujuan untuk memantapkan lagi hubungan silaturahim dan semangat kerjasama di antara Majlis Mahasiswa Kolej Aminuddin Baki sidang 2023/2024 bersama rakan exco serta warga penghuni Kolej Aminuddin Baki di samping menggalakkan amalan gaya hidup sihat melalui aktiviti berkebun serta memupuk semangat dan menyemai perasaan cinta akan alam sekitar.