Oleh: Nur Amira Insyirah Jemli & Dr. Ahmad Wiraputra Selamat
Ipoh – Mahasiswa program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Teknologi Maklumat, Ekonomi dan Bahasa Melayu dengan kerjasama Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi (META) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) buat julung kalinya telah berjaya mengadakan program pemindahan pengetahuan SULAM CoMasPro’24 ByteMinds Initiative kepada warga Sekolah Menengah Kebangsaan Wira Jaya, Ipoh pada 23 Januari lalu.
Program ini melibatkan seramai 30 orang pelajar tahun pertama bagi kursus DTN3013 Senibina dan Organisasi Komputer di bawah penyeliaan pensyarah dan penasihat projek, Ts. Salman Firdaus Sidek.
Objektif utama bagi projek ini adalah untuk memberi pendedahan kepada peserta mengenai kemahiran pemasangan komputer, ilmu sistem nombor dan digital logik serta secara tidak langsung mempromosikan program yang ditawarkan UPSI. Seramai 31 orang peserta dilibatkan yang terdiri dari murid tingkatan 3 di sekolah berkenaan.
Program SULAM CoMasPro’24 mengaplikasikan strategi pembelajaran berbentuk kooperatif iaitu gallery walk di mana peserta akan melakukan tiga aktiviti pembelajaran berasaskan permainan yang berbeza selama 30 minit secara serentak.
Siti Fatimah Kabri, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SMK Wira Jaya, Ipoh menyatakan program ini berjaya mencapai matlamat sekolah untuk menganjurkan aktiviti pengisian selepas tamatnya peperiksaan akhir di sekolah selain mengharapkan program yang sama akan diadakan lagi pada masa hadapan dalam bentuk perkemahan.