Oleh: Saleha Sabran

TANJONG MALIM, PERAK, 20 FEBRUARI 2024: Bahagian Hal Ehwal Akademik (BHEA), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menerima kunjungan daripada delegasi Universiti Putra Malaysia (UPM) sempena lawatan penanda aras yang bertujuan untuk perkongsian pengalaman dan pengetahuan dalam tadbir urus.

Bermatlamatkan untuk penambahbaikan proses kerja pengurusan akademik, seramai 19 orang pegawai dari Bahagian Tadbir Akademik (BPA) UPM tiba di Kompleks Akademik, BHEA diketuai oleh Mohd Nazri Md Yasin, Ketua Pentadbiran Pejabat Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa). Delegasi UPM disambut baik oleh Ketua Timbalan Pendaftar BHEA, Suhaila Sidek serta tujuh pegawai yang seterusnya membuat perkongsian mengenai amalan terbaik pengurusan dan sistem digunapakai bagi pengurusan pendaftaran pelajar dan penjadualan, pengurusan peperiksaan, pengurusan pengijazahan serta pengurusan senat dan dasar.

Pembentangan, perkongsian dan soal jawab yang berlangsung memberi input dan pendedahan kepada kedua-dua belah pihak dalam usaha penambahbaikan berterusan dan meningkatkan mutu perkhidmatan sebagai sebuah bahagian yang mentadbir dan menyediakan servis hal ehwal akademik di universiti.

Delegasi UMT bergambar bersama barisan kakitangan BHEA, UPSI sewaktu lawatan bulan Disember tahun lalu.

Terdahulu, BHEA telah menerima lawatan daripada Universiti Malaysia Terengganu (UMT) pada 13 Disember tahun lalu. Delegasi UMT diketuai oleh Timbalan Pendaftar Kanan, Pusat Pembangunan dan Pengurusan Akademik Ts Wan Abdul Manan Wan Abdullah, Timbalan Pendaftar Kanan, Pusat Pembangunan dan Pengurusan Akademik bersama empat orang staf hadir bagi lawatan penandaarasan dan berkongsi pengalaman berkaitan tugas-tugas di Unit Pengijazahan, BHEA.

Antara yang menjadi tarikan pihak UMT semasa perkongsian tersebut adalam Sistem Anugerah Kecemerlangan (E-Awards) dan Sistem Panggilan Suara Graduan (E-Convo).

Bagi mempromosi dan meningkatkan imej UPSI, pihak BHEA turut menjemput delegasi lawatan ke beberapa lokasi strategik sekitar UPSI iaitu Muzium Pendidikan Nasional dan Galeri Seni. Selain daripada itu, pau labu dan minuman UPSIDE pula dijadikan cenderahati juga sebagai usaha mempromosikan UPSI. Harapan dengan adanya sesi lawatan penanda aras ini dapat menjadi pemangkin semangat dan segala bentuk perkongsian amalan terbaik urus tadbir kedua-dua belah pihak mendapat manfaat demi kebaikan universiti dan negara kita.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)