Oleh: Musa Jaafar

19 Februari 2024, Tanjong Malim- Pusat Ulul Albab, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerima lawatan Penanda Aras daripada Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal pelajar) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor. Kunjungan ini bertujuan mengambil pengalaman dan berkongsi idea dalam pembinaan Modul Adab dan Sahsiah Pelajar, Standard People Practice (SPP) serta meluaskan jaringan kerjasama kedua belah pihak. Kunjungan hormat tersebut merupakan platform membincang dan mengeratkan hubungan antara UPSI dan UTM  terutamanya dalam konteks pemerkasaan Adab dan Akhlak.

Sesi perkongsian oleh Dr. Sakinah Salleh

Delegasi rombongan UTM terdiri dari tujuh orang pegawai dan kakitangan diketuai oleh Pengetua Kolej Datin Seri Endon merangkap Ketua Projek Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTM, Dr. Nabilah Kasim. Perkongsian modul-modul Ulul Albab yang disampaikan oleh Pengarah Pusat Ulul Albab, Dr. Sakinah Salleh khususnya dalam usaha untuk meningkatkan pembangunan diri yang bermatlamatkan impak kejayaan yang bersifat ‘super’ cemerlang  di samping tayangan video korporat Ulul Albab. Dr. Sakinah dalam ucapannya berharap dapat berkolaborasi dalam membangunkan aspek adab, akhlak, sahsiah dan jiwa pelajar agar dapat mengikut acuan yang dibentuk oleh pihak universiti.

Menurut Dr. Nabilah, perkongsian modul-modul Ulul Albab yang mengambil berat tentang aspek pembangunan akhlak dan akademik terutamanya pengurusan emosi serta pembentukan personaliti, adab belajar dan mengajar, perkembangan akhlak jiwa remaja, penghayatan seni islam dan cara berfikir berasaskan model Ulul Albab  yang diterapkan di UPSI.

Lawatan ke Pejabat Pusat Ulul Albab

Perkongsian dan pertukaran idea antara kedua-dua universiti dapat memperkukuh serta memperkasakan lagi pelaksanaan program adab dan akhlak pelajar berteraskan Modul Ulul Albab yang bercirikan tiga komponen utama iaitu Quranik, Ensiklopedik dan Ijtihadik.