Delegasi ISN bersama wakil kampus ketika sesi lawatan ke Pusat Sukan UPSI.
Tanjong Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan (FSSK) menjalin kerjasama dengan Institut Sukan Negara (ISN) bertujuan memajukan sukan negara sekali gus menjadikan universiti itu sebagai Pusat Satelit ISN.
Majlis kerjasama antara UPSI dan ISN di Scholars Suite, Kampus Sultan Azlan Shah, Tanjong Malim, Perak, Selasa lalu memfokuskan kepada kepakaran tenaga pengajar dan fasiliti sukan yang boleh ditawarkan antara kedua-duanya.
Ia dihadiri delegasi ISN diketuai Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Ahmad Faedzal Md Ramli dan Ketua-ketua Unit di ISN.
Manakala UPSI yang dipengerusikan Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff turut disertai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr Norkhalid Salimin dan beberapa pegawai kanan UPSI.
Sementara itu, Profesor Dr. Md Amin berkata, UPSI dapat menimba pengalaman dari ISN terutama dalam pengurusan penyelidikan melibatkan atlet.
“Menerusi kerjasama ini, UPSI dapat menyediakan kurikulum program termasuk cadangan dual program, kepakaran tenaga pengajar dan tawaran program pendidikan khusus kepada atlet yang bakal menjadi guru,” ujarnya.
Terdahulu, delegasi ISN mengadakan lawatan di UPSI Sports City bagi meninjau kemudahan sukan dan melihat kemudahan makmal di FSSK.