Oleh: Nurul Ainie Abdullah
Kuala Lumpur – Bengkel Pemerkasaan Hala Tuju Pusat Pembangunan Akademik (PPA), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) tahun 2024 telah diadakan pada 02 hingga 04 Februari di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur yang bertujuan memperkasakan peranan jabatan di samping meningkatkan keberkesanan sistem tadbir urus PPA supaya dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan dan pemegang taruh.
Bengkel yang diadakan setiap tahun dengan penglibatan seramai 19 orang staf terdiri daripada pihak Pengurusan dan Professional dan juga staf pentadbiran telah diisi dengan slot pencapaian Petunjuk Ukur Prestasi Utama, Agihan bajet Tahun 2024, Project Based Learning UPSI, Program Pensijilan Profesional serta Perancangan Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT).
“Fokus utama bengkel ialah merealisasikan aspirasi pucuk pimpinan universiti yang menjadi salah satu tunjang penting bagi kemampanan UPSI tercinta,” jelas Pengarah PPA, Profesor Madya Dr. Normah Jusoh semasa ucapan aluannya.
Menurut beliau, bengkel ini dilihat dapat memberi gambaran awal tentang persediaan PPA dalam menyokong aspirasi Naib Canselor antaranya pelaksanaan Program Pengajian Dual Degree yang mana kerjasama strategik antara UPSI dengan institusi dalam dan luar negara dapat meningkatkan ‘visibility’ UPSI dan mendapat pengiktirafan diperingkat negara dan antarabangsa.
Kepelbagaian mod penawaran pengajian dan pengajian yang lebih fleksibel diharapkan akan dapat menarik minat bakal pelajar dan akhirnya dapat meningkatkan jumlah pelajar siswazah di UPSI.