Ts Dr. Kesavan bergambar di hadapan Bangunan Khalifa University, Abu Dhabi
Oleh: Nurul Ainie binti Abdullah & ChM Dr. Yuhanis Mhd Bakri
Tanjong Malim, 21 Februari 2024 – Sesi Perkongsian ‘Finalis QS Reimagine Education Awards 2023‘ oleh Ts Dr Nallaluthan Kesavan daripada Fakulti Pengurusan Ekonomi (FPE), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) diadakan secara hibrid di Dewan Kuliah e-Learning 11, Aras 3, Bangunan e-Learning, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI.
UPSI telah disenarai pendek sebagai calon penerima anugerah bagi kategori Innovation in Business Education Award dalam anugerah QS Reimagine Education Awards yang disebut sebagai ‘Oscars’ in Education. Ini merupakan penyertaan kali pertama UPSI dan terpilih sebagai finalis bagi penerimaan anugerah berprestij badan penarafan antarabangsa, QS. Penyertaan UPSI bagi peringkat akhir ini penting bagi meningkatkan pencapaian pengiktirafan antarabangsa Universiti.
Bagi tahun 2023, anugerah QS Reimagine Education Awards menerima lebih kurang 1200 pencalonan bagi 17 kategori anugerah. Projek Dr. Kesavan bertajuk ‘Student as Manager’ Three-Prolonged Teaching Approach telah dipilih sebagai Top 30 yang disenarai pendek daripada 800 senarai projek.
Malah, projek ini adalah Top 8 di anugerah peringkat dunia yang berprestij ini iaitu satu daripada hanya 8 projek yang terpilih ke pentas akhir bagi Innovation in Business Education (Other Programs – Non-MBA) dengan calon lain adalah dari negara Australia, United Kingdom, Switzerland, Mexico dan Chile. UPSI merupakan satu-satunya negara Asean bagi keseluruhan Innovation in Business Education termasuk MBA dan Non-MBA.
Beliau telah berkongsi mengenai pengalaman menyertai anugerah, persiapan untuk menghadiri QS Reimagine Awards dan bagaimana proses permohonan untuk menghadiri anugerah berprestij berkenaan dilakukan. Bagi memantapkan lagi persediaan, Ts Dr. Kesavan telah mengadakan sesi coaching dan pitching bersama Unit Kecemerlangan Akademia, Pusat Pembangunan Akademik (PPA) sebelum ke Abu Dhabi. Selain itu, beliau juga menerangkan asal-usul pembangunan Konsep Inovasi PdP serta teknik-teknik yang boleh diserapkan dalam kursus.
“Sesi perkongsian ini dapat memberi motivasi kepada para pensyarah supaya dapat membangunkan inovasi mengikut bidang kepakaran masing-masing kerana terdapat pelbagai kategori anugerah boleh disertai,” kata beliau di dalam sesi perkongsian tersebut.