Oleh: Fajrul Solehien
Tanjong Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melangkah setapak lagi ke arah pemodenan pendidikan pertanian menggunakan teknologi terkini seperti Internet of Things dan Teknologi AI.
Bagi meraikan kejayaan ini, UPSI melalui Pusat Pendidikan Teknologi Hijau (PPH) dan Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi (META) UPSI telah menganjurkan satu program menuai cili yang berjaya diadakan di Kolej Za’ba, Kampus Sultan Azlan Shah UPSI.
Program tersebut telah dimeriahkan dengan kehadiran Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Innovasi), Prof. Dr. Suriani Abu Bakar diiringi Ketua dan Penyelaras PPH Prof. Dr. Che Zalina Zulkifli menuai cili bersama warga UPSI yang turut hadir.
Prof. Dr. Suriani dalam ucapannya berkata “Kerjasama di antara PPH UPSI, Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-Kanak Negara (NCDRC) dan Sekolah Rendah Seri Budiman (SRSB) akan memperkukuhkan Pendidikan Teknologi Hijau dan memanfaatkannya melalui kerjasama strategik yang mantap.”
Turut hadir DEKAN META UPSI, Prof. Madya Dr. Ing Maizatul Hayati Mohamad Yatim, dan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi META, Profesor Madya Dr. Suzani Mohamad Samuri.