Oleh: Nur Syafiqah Bakhtin

MANJUNG, PERAK – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) bersama empower NCER Akademik telah menyerahkan tablet sebanyak 200 unit dan modul Tahun 6 sebanyak 500 set kepada Pejabat Pendidikan Daerah Manjung untuk diagihkan kepada sekolah – sekolah di daerah Manjung dalam Rumah Terbuka Aidilfitri Madani.

Sumbangan tablet dan modul ini diberikan agar dapat membantu sekolah yang memerlukan bantuan dari segi peningkatan akademik selaras dengan hasrat Kerajaan dalam memperkasakan Pendidikan.

Kandungan tablet tersebut telah lengkap dengan e-modul SPM bagi subjek teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah. Manakala, bagi Modul tahun 6 juga mengikut 5 subjek tersebut.

Pengarah UCTC, Prof. Madya Dr. Mohd Azlan Nafiah berkata, sumbangan tablet dan modul ini bukanlah semata – mata barang, tetapi kemudahan kepada murid – murid sekolah untuk mengakses pengetahuan yang luas dan mendalam.

Hal ini juga membuka peluang untuk murid – murid belajar menggunakan bahan – bahan pembelajaran digital.

Selain itu, sumbangan modul yang menjadikan pembelajaran berpusatkan murid membolehkan murid belajar dengan kebolehan masing – masing. Ini memberi peluang kepada murid untuk melatih kemahiran sendiri dan mendorong minat terhadap pelajaran.

Dengan sumbangan modul ini, pembelajaran di sekolah menjadi lebih efektif dan bermakna bagi perkembangan murid.

Dalam pada itu, Naib Canselor UPSI, Profesor Dato’ Dr. Md Amin Md Taff juga berpendapat bahawa sumbangan ini bukan hanya memberikan akses teknologi, tetapi juga memberikan kesempatan kepada setiap murid untuk mengembangkan potensi mereka secara maksimum.

Dengan kerjasama dari pihak – pihak yang peduli terhadap pendidikan, kita dapat melangkah lebih jauh dalam menciptakan lingkungan belajar yang lebih merata dan inklusif bagi semua.

Tindakan yang dilakukan ini selaras dengan apa yang digagaskan oleh YB Senator Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi dalam amanat yang disampaikan sempena Landasan Hala Tuju Kementerian Pengajian Tinggi.

“KPT bukan hanya bertanggungjawab membangunkan bakat dalam kalangan warganya, bahkan juga mempunyai tanggungjawab besar untuk memberdayakan komuniti dan industri melalui program pemindahan dan perkongsian ilmu atau Knowledge Sharing and Transfer Programme (KSTP)” tambah beliau yang menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Madani di Dewan Merdeka, Majlis Perbandaran Manjung, Perak sekaligus merasmikan majlis tersebut.

Semoga sumbangan ini menjadi permulaan yang baik dalam perjalanan pendidikan negara kita, dan semoga kita dapat terus bersama-sama membangun masa depan yang cerah melalui pendidikan yang berkualiti tinggi  bagi generasi akan datang.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)