Oleh: Nurul Izzah, Syamimi Athilah, Fararovila, Qasim & Nur Fatehah
Tanjong Malim– Majlis Mahasiswa Kolej Aminuddin Baki (KAB), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sidang 2023/2024 telah mengadakan satu program gotong-royong atau lebih dikenali KAB Sprint Cleaning pada 8 Mei. Penglibatan dalam aktiviti gotong royong dalam kalangan penghuni kolej Aminuddin Baki bagi memupuk semangat kebersihan persekitaran, rumah penginapan malahan memupuk semangat kerjasama dan mengenali antara satu sama lain.
Program ini telah dihadiri oleh seramai 160 orang peserta terdiri daripada barisan Majlis Mahasiswa Kolej, Rakan Exco, serta penghuni Kolej Aminuddin Baki dan turut dihadiri oleh Pengetua Kolej Aminuddin Baki, Zulkifli Mamat, barisan pentadbiran dan felo Kolej Aminuddin Baki.
Program KAB Sprint Cleaning ini bermula seawal jam 7.30 pagi dengan sesi taklimat bersama peserta yang disampaikan oleh AJK Aktiviti. Program ini terdiri daripada dua sesi, sesi pertama adalah membersihkan kawasan Pusat Aktiviti Pelajar, Surau Al-Falah, kawasan sekitar Blok B dan C manakala sesi kedua adalah membersihkan rumah masing – masing.
Program ini telah mendapat tajaan daripada pihak UPSI Holdings Sdn. Bhd. sebanyak 8 unit hamper. Penyampaian hadiah kepada para pemenang merupakan inisiatif yang baik untuk mendorong lebih banyak lagi penglibatan dan komitmen dalam program-program yang dianjurkan oleh Kolej Aminuddin baki. Terdapat dua kategori yang dipertandingkan, iaitu rumah yang paling komited dan rumah paling bersih dan ceria bagi menghargai serta sebagai suntikan semangat untuk mengiktiraf usaha yang diambil oleh penghuni kolej.
Diharapkan program ini mampu memberi impak positif dan ikatan ukhuwah yang lebih erat terbina antara pihak pengurusan kolej dengan penghuni kolej sekaligus menerapkan sifat tanggungjawab dalam menjaga kebersihan diri, rumah dan kawasan persekitaran demi meningkatkan imej kolej.