Oleh: Mohd Hanapi Daud & Yusfarina Mohd Yusop

Taiping, 15 Mei 2024 – Exco Latihan dan Pembangunan Sahsiah, Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid (KHAR) Sidang 2023/2024, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah mengadakan Program ‘Eratkan Hubungan, Jalinkan Kemesraan’ di Sekolah Tunas Bakti, Taiping, Perak. 

Menurut Pengarah Program, Anwarul Syahmi Ismail, seramai 40 orang mahasiswa KHAR terlibat dalam program di Sekolah Tunas Bakti, Taiping. “Program ini bertujuan untuk meningkatkan tahap literasi dan motivasi pelajar baik dari segi pembelajaran akademik mahupun pembinaan sahsiah dan etika. Di samping itu, program ini turut diselitkan dengan nilai-nilai kesukarelawanan dan sahsiah dalam diri pelajar bagi memperkasa kemahiran kepimpinan, sosial serta rasa tanggungjawab dalam kalangan pelajar. Selain slot pengenalan diri, motivasi dan aktiviti explorace, juga diadakan aktiviti mencanting batik yang dibimbing dan dikendalikan oleh pemilik Tanuntaya Enterprise, Bismi Intanti Abu Bakar.

Program Tunas Remaja Bakti ini turut dihadiri oleh Timbalan Pengetua Sekolah Tunas Bakti Taiping, Perak, Amirol Hussainy. Menerusi ucapan aluannya, program ini sangat baik kerana bukan sahaja boleh membantu meningkatkan motivasi diri dalam kalangan pelajar yang pernah terlibat dengan kesalahan jenayah tetapi secara tidak langsung juga mampu mendidik pelajar-pelajar di sini membina sikap positif, membentuk peribadi yang kukuh dan melengkapkan diri dengan keterampilan bagi membolehkan mereka hidup berdikari dalam masyarakat. Menurut beliau, program seumpama ini diharapkan dapat diteruskan pada masa akan datang kerana aktiviti tambahan sebegini sebenarnya mampu memberi nilai tambah kepada pelajar-pelajar di sini untuk membina jati diri yang lebih unggul dan daya fikir yang kreatif.

Pengetua KHAR, Dr Che Anuar Che Abdullah berharap agar program seperti ini dapat melatih pelajar UPSI dari aspek tanggungjawab sosial iaitu memupuk semangat kesukarelawan dalam membantu masyarakat.  Di samping memberi pendedahan kepada pelajar KHAR, program ini diharapkan dapat membantu pelajar di Tunas Bakti memahami norma-norma sosial yang diterima, memperbaiki kemahiran komunikasi dan memperkasa keyakinan diri dalam membuat setiap tindakan. Aktiviti sokongan yang dilakukan juga membantu mengatasi masalah perilaku dan memberi satu semangat baharu untuk membina karakter yang lebih positif.

Yang Dipertua, Majlis Mahasiswa KHAR, Mohamad Naqiuddin mengharapkan mahasiswa UPSI dapat memanfaatkan peluang dan ruang dalam penglibatan penganjuran program seperti ini kerana ianya bukan sahaja membuka minda bahkan memberikan satu lonjakan paradigma kepada mereka khususnya bakal guru dalam menjadi pendidik yang berdaya saing dan berketerampilan.