Oleh: Fajrul Solehien
16 Mei 2024

Tanjong Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan Sambutan Hari Belia Negara 2024 bertempat di Panggung Percubaan, Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS). Majlis ini dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dr. Norkhalid Salimin. Sambutan ini bertujuan memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada golongan belia yang telah menyumbang dalam pelbagai aspek pembangunan negara.

Objektif utama sambutan ini adalah untuk meningkatkan kesedaran belia Malaysia mengenai peranan penting mereka dalam membina dan menyerlahkan potensi diri demi pembangunan masyarakat dan negara, kini dan pada masa hadapan. Selain itu, program ini juga bertujuan untuk menyatupadukan seluruh belia di Malaysia dalam usaha mempertahan dan menyumbang kepada pembangunan negara.

Sambutan diteruskan dengan Forum Perspektif Belia Madani yang menampilkan dua wakil pelajar UPSI iaitu Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar, Amirul Haiqal Amirrudin Baki dan mantan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar, Nik Ahmad Nuri Nik Ismail.

Dalam forum tersebut, Nik Ahmad Nuri berkongsi pengalamannya sebagai seorang belia yang aktif dan menyumbang kepada masyarakat. Beliau menekankan kepentingan melibatkan belia dalam proses pembuatan keputusan serta memastikan suara mereka didengar dalam arena politik dan sosial. Nuri juga mengulas tentang peranan belia dalam pembangunan masyarakat secara keseluruhan dan memberi contoh-contoh sumbangan yang boleh dicontohi oleh belia lain.

Amirul Haiqal pula berkongsi tentang pengalamannya dan strategi terbaik untuk mendorong belia mengambil peranan aktif dalam pembangunan diri. Beliau menekankan perlunya menyediakan persekitaran yang menyokong bagi belia untuk membangunkan keupayaan kepimpinan dan kemahiran sosial mereka. Amirul juga memberikan pandangan mengenai cara-cara belia boleh meningkatkan penglibatan dalam aktiviti pembangunan diri dan komuniti.

Majlis diakhiri dengan Ikrar Belia yang diketuai oleh Encik Aliff Ashraf Abdul Razak, simbolik komitmen para belia untuk terus menyumbang kepada pembangunan negara.

Sambutan Hari Belia Negara 2024 di UPSI bukan sahaja mengiktiraf sumbangan golongan belia tetapi juga memberi platform untuk mereka berkongsi idea dan pengalaman, serta merancang masa depan yang lebih gemilang untuk negara. Program ini berjaya menyatupadukan belia dari pelbagai latar belakang dan memperkukuhkan semangat kebangsaan serta tanggungjawab sosial di kalangan mereka.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)