Oleh: Afifah Adriana Aznan
16 Mei 2024
Manjung: Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS) terus proaktif dalam melaksanakan program khidmat masyarakat yang berasaskan TVET (Teknikal dan Vokasional Pendidikan dan Latihan) iaitu menservis motorsikal melalui Program Outreach Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) di Lumut, Perak.
Pelaksanaan program bantuan teknikal ini adalah bersempena Karnival Anak Muda yang diadakan pada 14 Mei baru-baru ini di Medan Selera Musang King, Manjung yang bertumpukan komuniti di sekitar kawasan Manjung dan dihadiri oleh YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad, Menteri Besar Perak dan YB Encik Khairudin Abu Hanipah, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia & Sukan Negeri Perak.
Menurut Pengarah UCTC, Prof. Madya Dr. Mohd Azlan Nafiah, lebih kurang 200 buah motorsikal telah berjaya diselenggara. Program bantuan teknikal ini dapat mengurangkan kos penyelenggaraan kenderaan komuniti di sekitar kawasan Manjung sekaligus membantu meringankan beban kewangan.
Selain itu, pelaksanaan program ini juga dapat menjadi latihan kepada mahasiswa Program Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Pembuatan (Reka Bentuk Automotif) PSAS dengan mengaplikasikan pengetahuan yang mereka pelajari disamping mendapat pengalaman langsung dalam bekerja.
Secara tidak langsung, ia dapat mengembangkan keterampilan interpersonal dan kepimpinan mereka serta memupuk rasa tanggungjawab sosial yang kuat.
Program menservis motorsikal ini bukan sahaja melibatkan UPSI dan PSAS malah terdapat institusi lain seperti Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Kolej Komuniti Kelana Jaya, Kolej Komuniti Sungai Siput dan beberapa politeknik serta kolej komuniti yang lain yang mensasarkan sebanyak 1000 buah motorsikal untuk diservis.
Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPSI, Prof. Dr. Norkhalid Salimin berkata program menservis motorsikal ini memberi peluang kepada mahasiswa berkhidmat dalam komuniti disamping mempelajari kemahiran praktikal yang berkaitan dengan penyelenggaraan dan pembaikan motorsikal.
“Sebagai anak muda belia yang merupakaan aset negara, ini membantu meningkatkan kebolehkerjaan mereka, memperluas peluang pekerjaan, dan memperkukuhkan ekonomi komuniti secara keseluruhan”.
Sementara itu, terdapat pelbagai aktiviti yang dijalankan seperti Fun Ride, Fun Run, Sesi Teh Tarik Cikgu Saarani, Pertandingan Motor Perlahan, Car Boot Sales, Acara Sepak Raga Tuju, Autoshow, pertujukan Buskers dan cabutan bertuah.