Oleh: Nor Puteri Hidayah Salleh
17 Mei 2024

Kuala Lumpur: Satu langkah signifikan diambil oleh Pusat Penyelidikan dan Inovasi (RMIC) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan mengadakan kunjungan ke Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) bagi membincangkan potensi hak intelek (IP) dan produk universiti untuk dipasarkan ke peringkat antarabangsa.

Delegasi RMIC UPSI yang diketuai oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Profesor Dr. Suriani Abu Bakar, disambut mesra oleh Timbalan Pengarah Seksyen Pembinaan & Perkhidmatan Perniagaan MATRADE, Tuan Syed Mohamad Fairus Shaik Ismail.

Kunjungan ini bertujuan berbincang bersama bagi kerjasama strategik antara kedua-dua institusi dalam usaha meningkatkan keterlihatan produk inovasi tempatan di pasaran global.

Dalam sesi perbincangan tersebut, RMIC UPSI mengetengahkan beberapa inovasi dan hasil penyelidikan terkini yang berpotensi tinggi untuk dikomersialkan.

Antara produk yang diketengahkan termasuklah bahan pengajaran interaktif berbasis teknologi, perisian pendidikan, serta produk-produk kesihatan dan kesejahteraan hasil kajian para penyelidik UPSI.

Profesor Dr. Suriani Abu Bakar menjelaskan bahawa kerjasama dengan MATRADE adalah kunci untuk membuka pintu ke pasaran antarabangsa.

“Dengan sokongan MATRADE, kami berharap dapat memperluas jaringan dan menembusi pasaran luar negara dengan lebih berkesan.

Ini bukan sahaja akan membawa manfaat kepada universiti dan para penyelidik, tetapi juga memperkenalkan inovasi UPSI -Malaysia di persada dunia terutama dalam bidang penyelidikan awal kanak-kanak,” katanya.

Dalam penerangannya, Tuan Syed Mohamad Fairus Shaik Ismail turut menegaskan komitmen MATRADE dalam membantu institusi penyelidikan seperti UPSI untuk mencapai pasaran global.

Beliau menekankan bahawa MATRADE bersedia menyediakan platform dan bantuan yang diperlukan bagi memastikan produk-produk inovatif dari UPSI-Malaysia mendapat tempat yang sewajarnya di pasaran antarabangsa.

“MATRADE sentiasa komited dalam mempromosikan produk tempatan di peringkat global. Melalui kerjasama ini, kami akan memberikan bimbingan, khidmat nasihat, dan sokongan promosi yang diperlukan untuk memastikan kejayaan produk-produk hasil penyelidikan UPSI di luar negara,” jelasnya.

Selain daripada perbincangan mengenai hak intelek serta strategi pemfailan IP di negara asing bagi aktiviti pengkomersialan.

Kunjungan ini menandakan permulaan yang menjanjikan bagi RMIC UPSI dalam usaha memasarkan produk inovasi tempatan di peringkat global, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab inovasi dan penyelidikan di rantau ini.

Dengan adanya kerjasama strategik seperti ini, diharapkan lebih banyak inovasi tempatan akan mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa, seterusnya menyumbang kepada perkembangan ekonomi negara dan membawa nama Malaysia ke persada dunia sebagai negara yang inovatif dan berdaya saing tinggi dalam bidang pendidikan.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)