Oleh : Nur Masyaerah Kamaruzaman
24 Mei 2024

Manjung: Program lawatan sambil belajar merupakan salah satu aktiviti tahunan yang direka khusus untuk mendedahkan murid kepada suasana pembelajaran yang tidak formal dan memberi peluang kepada mereka memahami secara langsung apa yang mereka pelajari secara praktikal dengan melawat ke sesuatu tempat yang menarik dan berpotensi memberi pengalaman bermakna kepada mereka.

Melalui aktiviti ini, murid khususnya Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) dapat memenuhi rasa ingin tahu mereka sekaligus mendapatkan proses pengajaran dan pembelajaran yang lebih meluas dan menyeluruh serta memberi ruang kepada MBPK menikmati proses pencarian jawapan secara kreatif.

Bagi menyokong inisiatif ini, Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) SMK Tok Perdana bersama pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menjalankan program lawatan sambil belajar di Zoo Taiping, Perak. Seramai 14 orang pendidik dan 30 orang MBPK terlibat dalam merasai pengalaman baru sambil menikmati keindahan flora dan fauna yang ada di Zoo Taiping.

Guru pelatih UPSI, Nur Masyaerah Kamaruzaman, menyatakan bahawa lawatan sambil belajar ke zoo ini adalah bertujuan memberi pendedahan kepada MBPK untuk mengenali hidupan haiwan yang sebenar. MBPK dapat melihat sendiri keindahan kepelbagaian alam fauna beserta habitatnya di dalam zoo.

“Aktiviti ini memberi peluang kepada MBPK untuk belajar sambil berhibur di samping dapat menambahkan ilmu pengetahuan mereka yang sedia ada.

Pendekatan seumpama ini boleh memupuk minat terhadap alam semula jadi dan menekankan kepentingan memulihara warisan biodiversiti dalam kehidupan kita,” katanya.

Pn. Sabarinah Mamat@Bidin, Pengetua SMK Tok Perdana, menyatakan program ini merupakan usaha yang baik dan sangat bermanfaat bagi anak-anak istimewa ini.

Melalui program lawatan sambil belajar, MBPK dapat berinteraksi dengan masyarakat luar dan tidak hanya tertumpu di sekolah sahaja.

“Sesekali kita perlu bawa murid pendidikan khas keluar dari kawasan sekolah untuk mengenali dunia luar agar mereka didedahkan dengan pelbagai pengalaman yang menarik dan bermakna.

Penerapan nilai-nilai murni seperti mematuhi arahan, menepati masa, bekerjasama dan sebagainya juga boleh diterapkan oleh guru pengiring secara langsung atau tidak langsung.

Pengetahuan yang diperolehi ini biasanya lebih kekal lama kerana murid menggunakan pelbagai deria untuk mendapatkan maklumat,” ujarnya.

Selain itu, kita dapat melihat bahawa penglibatan MBPK dalam aktiviti penerokaan alam fauna turut bersesuaian dengan tajuk-tajuk dan topik-topik yang terdapat di dalam Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) yang mereka pelajari.

Antaranya adalah subjek-subjek teras di sekolah terutamanya bagi mata pelajaran Komunikasi, Pendidikan Seni dan Kesejahteraan, dan Pengurusan Kehidupan.

Guru Penolong Kanan Pendidikan Khas, Cik Suhana Shafiee, menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada pelajar program Pendidikan Khas UPSI, Nur Masyaerah Kamaruzaman, di atas penglibatan dan kerjasama yang diberikan sekaligus berjaya menjalankan program lawatan sambil belajar ke Zoo Taiping Perak seperti yang dirancangkan.

“Program lawatan sambil belajar memberi kesan yang baik terhadap kesedaran dan empati tinggi dalam diri MBPK. Mereka mengamati, mengenali, memahami dan sudah tentunya akan lebih menjaga dan menghargai kewujudan haiwan pelbagai spesies di sekeliling mereka.

Saya menyokong dan menggalakkan program-program seperti ini dijalankan, mungkin ke tempat-tempat yang lebih menarik di masa akan datang.

Proses pengajaran dan pembelajaran ini secara tidak langsung dapat diaplikasikan di dalam bilik darjah bersama dengan guru-guru mereka kelak,” ujarnya lagi.

Program lawatan sambil belajar pastinya membawa warna baru dalam suasana PDP dan ianya adalah salah satu hasrat YB Menteri Pendidikan di mana anak-anak perlu mengikuti pembelajaran di luar kelas supaya perspektif, pengalaman dan kemahiran mereka dapat diwujudkan di luar kelas berdasarkan Garis Panduan Lawatan Murid dan Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) Kementerian Pendidikan (KPM) Bilangan 9 mengikut keperluan dan kesesuaian semasa.

Penglibatan pelajar UPSI dalam aktiviti kecemerlangan MBPK di sekolah pastinya dapat memberi pengalaman berharga kepada pelajar itu sendiri sekaligus memberi aura baru dalam menekuni dunia pendidikan dengan saling berkongsi ilmu dalam memantapkan nilai jati diri yang cemerlang selari dengan UPSI sebagai universiti kebitaraan pendidikan.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)