Oleh: Dr. Sabarina Shafie, Dr. Rawdah Adawiyah Tarmizi dan Muhammad Noh Rozali
14 Jun 2024

Tanjong Malim: Persatuan Mahasiswa Matematik (PMMU) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menganjurkan program A Day with Math (ADM) bertempat di Dewan Kuliah Pusat 12, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI.

Program ADM yang bertemakan “Mahir Matematik” telah membawa 185 peserta teridiri dari pelajar dan pensyarah UPSI menyelami teknik mengajar matematik serta memperkasa sikap ingin tahu dan keyakinan terhadap ilmu matematik dalam kehidupan.

Program ADM merangkumi dua slot perkongsian. Slot pertama, “Let’s Talk: Teknik-teknik Mengajar Matematik,” dikhususkan kepada perkongsian daripada MC+ dan dikendalikan oleh Pengasas MC+ Muhammad Shakib Samsudin (Sir Shakib) bersama tenaga pengajar MC+ yang terdiri daripada Sir Badang, Sir Fathi, Sir Iqbal, Sir Ifwat, Sir Amir, Sir Uzairi, Sir Rauf, Miss Syu, Miss Emy, Miss Zaza, Miss Farah, Miss Marza, dan Sir Shahzad.

Sesi fotografi bersama Ketua Jabatan Matematik (FSM) Dr. Noor Wahida Md Junus, barisan penceramah iaitu Sir Shakib dan krew MC+ serta Master Shah dan Master Halim.

Perkongsian ini berkaitan dengan kepelbagaian kaedah penyampaian ilmu matematik dengan penekanan kepada aspek keterampilan dan gaya perwatakan, yang berjaya menarik perhatian para peserta.

Slot kedua program ADM berfokus kepada perkongsian menarik oleh mantan pensyarah kanan Fakulti Sains dan Matematik, Shahrizal Shamsuddin (Master Shah) dan pensyarah berpengalaman di Fakulti Sains dan Matematik, Abdul Halim Amat @ Kamaruddin (Master Halim), berkaitan “Math Talk: Matematik Inspirasi Keingintahuan dan Keyakinan.”

Banyak ilmu dan pengalaman yang dikongsikan oleh Master Shah dan Master Halim di samping mengetengahkan pentingnya nilai yang diperoleh daripada matematik. Slot kedua juga disulami dengan perkongsian perspektif yang perlu dikuasai oleh seorang guru untuk memudahkan anak didik memahami konsep matematik.

Slot 2 – Math Talk: Matematik Inspirasi Keingintahuan dan Keyakinan bersama Master Halim.
 

Majlis penutupan disempurnakan dengan ucapan oleh Dekan Fakulti Sains dan Matematik (FSM), Prof. Madya Dr. Mohd Faizal Nizam Lee Abdullah di mana beliau amat berbesar hati menerima kehadiran dan kerjasama pihak MCPlus yang diketuai oleh Sir Shakib yang sudi berkongsi tip kaedah mengajar berkesan sebagai rujukan bakal guru di UPSI.

Beliau juga amat berterima kasih kepada dua insan hebat dalam bidang matematik yang telah banyak berjasa kepada UPSI, iaitu Master Shah dan Master Halim atas kesudian berkongsi ilmu dan pengalaman mereka yang luas dalam bidang pendidikan matematik. Beliau berharap penganjuran program sebegini dapat diteruskan dan menggalakkan penglibatan lebih ramai pelajar demi memupuk minat dan memperkukuh kemahiran matematik yang selari dengan aspirasi negara dalam menerapkan kemahiran STEM.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)