Disediakan oleh: Hazim Haziq dan Afiq Syahmi
13 Jun 2024

Ulu Slim: Malaysia merupakan sebuah negara yang makmur dan damai kerana terdiri daripada pelbagai kaum dan Orang Asli merupakan salah satu entiti masyarakat di Malaysia yang tersebar di seluruh negeri di Semenanjung kecuali Perlis dan Pulau Pinang.

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi  menekankan bahawa agenda pembangunan memperkasa Orang Asli dapat terus menikmati kesejahteraan dan kemajuan di Malaysia dari aspek ekonomi, sosial, kesihatan serta pendidikan.

Pada 7 Jun 2024, Exco Kebajikan dan Perkhidmatan, Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar (MMKUO) dengan kerjasama pihak SK Pos Tenau, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), dan Jabatan Kemajuan Orang Asli Malaysia (JAKOA) menjalankan Program KUO Force 2.0: Orang Asli Over Boundary (OAOB) di SK Pos Tenau, Ulu Slim, Perak.

Program ini bertujuan untuk menyantuni dan membantu golongan Orang Asli Pos Tenau khususnya dalam aspek pendidikan. Menurut pengarah program, Rusdy Rosli “Mereka (Orang Asli) juga berhak mendapatkan pendidikan yang sempurna dan terbaik di dalam era negara yang kian membangun. Hak kesamarataan harus terjalin” katanya dalam ucapan beliau.

Seramai 55 orang mahasiswa yang terdiri daripada 25 orang ahli jawatankuasa, 20 orang sukarelawan, dan 10 orang rakan kolaborasi iaitu Persatuan Mahasiswa Sejarah dan Kelab Kombo Muzik terlibat secara langsung dalam menjayakan program ini. Impak daripada pelaksanaan program ini sedikit sebanyak memberikan kesan kepada mahasiswa Kolej Ungku Omar (KUO) untuk memperkaya pengetahuan, membangunkan potensi, dan keupayaan diri.

Antara aktiviti yang dijalankan termasuk perasmian mini perpustakaan, tanggungjawab sosial korporat (CSR), sesi penukaran ilmu pengetahuan, dan bengkel kebudayaan. Pelajar SK Pos Tenau juga berpeluang menunjukkan bakat mereka dalam setiap aktiviti yang dijalankan. Felo KUO, Puan Siti Nurhuda merangkap penasihat program berkata, “Pelajar SK Pos Tenau sebenarnya pandai dan berbakat, mereka bagaikan berlian yang perlu digilap supaya sinarnya dapat dilihat.”

Dengan membina kerjasama yang lebih efektif dan inovatif bersama warga SK Pos Tenau, melalui perbincangan dua hala, isu kemunduran bangsa dapat ditangani. “Jalinan kasih yang dilakukan diharapkan berkekalan, jika tidak kita siapa lagi yang ingin membantu dalam perkembangan mereka,” kata Encik Rashdan Helmi Ahamad, guru besar SK Pos Tenau.

Tuntasnya, program ini menjadi wadah yang dapat melahirkan mahasiswa yang cekal dan berdaya saing sebelum melangkah ke alam yang lebih mencabar. Segala kerjasama dan sokongan yang diberikan oleh semua pihak secara langsung mahupun tidak langsung memberikan kebaikan dan manfaat bersama.