Tanjong Malim: Mahasiswa “burnout” merupakan fenomena yang semakin ketara dalam kalangan mahasiswa di institusi pengajian tinggi, termasuk di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). “Burnout” merujuk kepada keadaan keletihan fizikal, emosi, dan mental akibat tekanan akademik yang berlebihan.
Fenomena ini bukan sahaja menjejaskan prestasi akademik, malah juga kesihatan fizikal dan mental pelajar. Namun di sebalik fenomena ini, sudah semestinya ia berbalik kepada apakah punca ianya terjadi.
Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar (MMKUO) mengambil inisiatif menganjurkan program “Tea Talk: Mahasiswa ‘Burnout’ Salah Siapa?” yang menampilkan tiga panel berpengalaman iaitu Yang Dipertua MMKUO Shahril Shazwan; Pengarah Pusat Kaunseling UPSI, Dr. Pau Kee dan Pempengaruh Media Sosial, Emir Haqim.
Program ini berlangsung pada 5 Jun 2024 bertempat di Dewan Kolej Ungku Omar, UPSI dan dihadiri oleh 350 orang peserta, memberi peluang kepada mahasiswa untuk meluahkan masalah yang mereka hadapi serta mencari cara untuk mengatasinya.
Perbincangan oleh tiga panel mengenai isu “burnout” dalam kalangan mahasiswa memberi pendedahan penting dan membantu mahasiswa UPSI tentang kesedaran untuk menangani masalah ini.
Menerusi perbincangan tersebut, Dr. Pau Kee berkata, “Pelajar sering kali merasa lesu dan tidak bertenaga walaupun telah mendapat rehat yang mencukupi. Selain itu, terdapat juga penurunan prestasi akademik yang ketara kerana mereka yang mengalami kelesuan biasanya menghadapi kesukaran untuk memberi tumpuan dalam kelas, mengalami penurunan dalam keputusan peperiksaan dan kehilangan minat terhadap aktiviti akademik.
Oleh itu, untuk mengatasi kelesuan, mahasiswa perlu mengamalkan beberapa langkah yang berkesan. Pengurusan masa yang baik adalah penting. Pelajar perlu menyediakan jadual yang seimbang antara belajar, bekerja, dan waktu rehat. Mendapatkan rehat yang mencukupi juga adalah langkah yang kritikal. Mahasiswa harus memastikan tidur yang mencukupi setiap malam dan mengambil rehat yang singkat sepanjang hari.”
Emir Haqim turut menyokong pandangan Dr. Pau Kee dengan menyatakan bahawa tekanan akademik adalah salah satu punca utama “burnout”. Tugasan yang bertimbun, peperiksaan yang berturut-turut, dan ekspektasi yang tinggi daripada pensyarah dan diri sendiri menambah bebanan mental kepada pelajar.
“Pengurusan masa yang lemah juga memainkan peranan dalam masalah ini. Mahasiswa sering kali menghadapi kesukaran untuk mengatur masa antara belajar, bekerja, dan kehidupan peribadi. Namun, mahasiswa harus melihat kepada diri sendiri bagaimana mengurus kehidupan mereka dengan lebih baik,” tambah Emir Haqim.
Secara keseluruhannya, mengekalkan keseimbangan antara kehidupan akademik dan peribadi adalah kunci untuk mengelakkan “burnout”. Mahasiswa harus peka terhadap had mereka dan memahami kepentingan menjaga kesihatan mental serta fizikal. Dengan mengamalkan strategi yang sesuai, mereka dapat mengatasi kelesuan dan menikmati kehidupan kampus dengan lebih baik. Masalah yang dihadapi perlu dilihat dari aspek kendiri, bagaimana proses yang sebenar dapat meningkatkan kesejahteraan mental dan emosi mahasiswa untuk kehidupan yang lebih cekap, aman, dan harmoni.