Oleh: Wan Aisyatul Nazifah
11 Jun 2024

Tanjong Malim: Unit Kediaman Luar Kampus (UKLK) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Sekretariat Rukun Negara (SRN), Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional (JPNIN), serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menganjurkan Pertandingan Forum Semarak Integrasi Nasional peringkat kebangsaan bertempat di ruang legar E-Learning, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Pertandingan yang berlangsung pada 5 Jun 2024 ini melibatkan 8 pasukan dari pelbagai Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) serta Institut Pendidikan Guru (IPG). Antara institusi yang terlibat adalah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Malaysia Terengganu, Universiti Kuala Lumpur, IPG Kampus Bahasa Melayu, IPG Kampus Sultan Abdul Halim, dan pasukan dari UPSI sendiri.

Dengan tema “Semarak Perpaduan Memacu Masyarakat Madani,” pertandingan ini bertujuan untuk mencungkil bakat dan meningkatkan keberanian mahasiswa serta mahasiswi dalam bersuara dan melontarkan buah fikiran di khalayak umum. Selain itu, ia juga memupuk semangat perpaduan yang utuh demi melahirkan masyarakat yang seimbang dan selari dengan aspirasi negara.

Ucapan perasmian oleh Dr. Samsuddin Abdul Hamid

Penyelaras 2 Pusat Ulul Albab, Dr. Samsuddin Abdul Hamid, dalam ucapan perasmiannya berkata bahawa dengan adanya program seperti ini, kita dapat bersama-sama mengukuhkan integrasi nasional dalam kalangan mahasiswa serta mahasiswi dari pelbagai etnik dan kaum. Hal ini penting kerana para peserta dapat bekerjasama dan melontarkan buah fikiran demi kemaslahatan masyarakat dan negara.

Tambah beliau, program ini secara tidak langsung menyokong usaha kerajaan dalam merealisasikan slogan Malaysia Madani dengan melahirkan masyarakat yang seimbang dan selari dengan nilai yang terkandung dalam enam tonggak utama: Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan, dan Ihsan. Kesemua nilai ini dapat dilihat dari pemilihan tema forum kali ini.

Tetamu bersama penonton dan peserta program

Para peserta menunjukkan kebolehan masing-masing dalam memberikan idea dan isu yang bernas dalam forum tersebut. Tidak dinafikan, kesemua pasukan yang mewakili institusi masing-masing adalah mereka yang terbukti hebat kerana bijak dalam menyusun dan melontarkan kata.

Keputusan akhir yang dipersetujui oleh para juri dan hakim memilih pasukan dari IPG Kampus Bahasa Melayu sebagai johan, sekaligus merangkul kejayaan panel terbaik. Manakala pasukan dari UIAM dan UPSI meraih naib johan dan tempat ketiga dalam pertandingan forum peringkat kebangsaan ini.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)