Oleh: Munirah Mohamad Nawi, Muhammad Lutfi Radzi Mohd Asri dan Dr. Sumayyah Aimi Mohd Najib

Tanjong Malim, 23 Jun 2024- Persatuan Geografi (PERGEO) Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di bawah pengurusan Exco Perhubungan Awam Komunikasi dan Antarabangsa dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar UPSI menganjurkan sebuah Program Bengkel Pengurusan Majlis dan Protokol di Dewan Kuliah D, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI.

Bengkel pengurusan majlis dan protokol diadakan bertujuan memantapkan pengetahuan mahasiswa UPSI dalam menganjurkan program berimpak mengikut protokol yang betul. Program yang dianjurkan ini memberi fokus kepada elemen yang terdapat dalam Amalan Pembangunan Lestari atau lebih dikenali sebagai Sustainable Development Goals (SDG) khususnya SDG 4 (Pendidikan Berkualiti atau Quality Education) dan SDG 17 (Rakan Kerjasama untuk Matlamat atau Partnerships for the Goals). Program ini telah melibatkan seramai 80 orang peserta yang terdiri daripada mahasiswa UPSI daripada pelbagai fakulti UPSI sekaligus bersama-sama memantapkan aspek protokol majlis bagi setiap fakulti.  Selain itu, program ini juga bertujuan meningkatkan pemahaman yang terperinci mengenai pengurusan majlis dan protokol serta dapat mengeratkan hubungan antara mahasiswa daripada pelbagai fakulti UPSI.

Program ini turut dihadiri oleh pensyarah FSK, Profesor Madya Dr. Hanifah Mahat dan wakil dari Bahagian Komunikasi Korporat (BKK) Azrul Hifni Hashim selaku penceramah jemputan dan Yang Di-Pertua PERGEO Bushra Assyakira Baharil Anuar. Program ini dipimpin oleh Pengarah Program iaitu Noramira Azman dan Timbalan Pengarah Program iaitu Umi Nabila Ahmad Zani@ Zaini daripada Exco Perhubungan Awam Komunikasi dan Antarabangsa Persatuan Geografi sidang 2023/2024.

Program ini memberi peluang kepada peserta meningkatkan pengetahuan dan kemahiran praktikal kepada peserta tentang aspek penting dalam pengurusan majlis dan protokol yang wajar dipraktikkan kepada mahasiswa kerana protokol di dalam majlis sangat penting untuk memastikan kelancaran majlis serta mampu untuk meningkatkan nilai etika dalam diri peserta.

Menurut Dr. Hanifah dalam ucapan perasmiannya, Program Bengkel Pengurusan Majlis dan Protokol ini adalah program yang bertujuan untuk  meningkatkan pengetahuan para peserta tentang bagaimana menganjurkan program mengikut protokol yang telah ditetapkan. Sasaran program kali ini adalah untuk melatih para peserta tentang cara menganjurkan program melalui proses perancangan, pentadbiran, pengurusan dan kepimpinan di samping dapat mencungkil bakat-bakat para peserta. Ini sejajar dengan Amalan Pembangunan Lestari atau lebih dikenali sebagai Sustainable Development Goals (SDG) khususnya SDG 4 iaitu Pendidikan Berkualiti atau Quality Education yang bertujuan untuk memberi ilmu bermanfaat agar mahasiswa dapat menerapkan ilmu protokol majlis yang lebih baik pada masa akan datang.

Selain itu, beliau berkata bahawa program ini bukan sekadar untuk memberi pendedahan aspek protokol majlis semata-mata malahan untuk mencari bakat baharu dalam pengurusan majlis. Bengkel ini adalah peluang untuk semua peserta menimba ilmu daripada penceramah jemputan yang sangat mahir dan berpengalaman mengenai pengurusan majlis dan protokol di UPSI agar kelak dapat menganjurkan program yang berimpak kepada universiti. Beliau mengakhiri dengan mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam perancangan dan pelaksanaan program ini. Penghargaan yang tinggi juga diucapkan kepada semua Penaja, AJK, dan Persatuan Geografi kerana sudi menjemput beliau dalam menjayakan program pada kali ini.

Program Bengkel Pengurusan Majlis dan Protokol ini berjalan dengan baik dan tersusun serta memberi impak positif kepada semua peserta dan pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung. Diharapkan dengan anjuran program pada kali ini, menjadi dorongan dan perangsang kepada mahasiswa UPSI yang lain.