Oleh: Nurul Aida Mohamed Adam

Sintok, 24 Jun 2024 – Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (EDGE), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerima jemputan untuk menghadiri Majlis Pelancaran Bulan Kebolehpasaran Graduan dan Kerjaya Universiti Awam 2024 yang bertempat di Universiti Utara Malaysia (UUM). Oleh itu, EDGE telah membawa seramai 30 pelajar UPSI untuk memberi pendedahan dan memeriahkan lagi majlis perasmian serta melawat pameran kerjaya yang dianggotai oleh hampir 50 agensi dari pelbagai bidang.

Dalam lawatan ini juga, EDGE dan Majlis perwakilan Pelajar UPSI (MPPUPSI) mengambil inisiatif untuk mengadakan lawatan rasmi ke Majlis Perwakilan Pelajar UUM (MPPUUM). Lawatan ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan antara kedua-dua institusi serta berkongsi pengetahuan dan pengalaman dalam bidang kepimpinan pelajar dan pembangunan keusahawanan. Turut hadir bersama dalam lawatan ini ialah Pengarah EDGE UPSI, Dr. Sharul Effendy Jainudin, yang juga alumni UUM, pulang ke pangkuan almamaternya dengan penuh nostalgia dan semangat untuk berkongsi pengalaman. Dalam slot MPP ini, pelbagai isu berkaitan kepimpinan pelajar, cabaran dalam pembangunan keusahawanan, dan strategi untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan dibincangkan dengan lebih terperinci. Wakil-wakil MPP dan pusat pembangunan dari kedua-dua universiti berkongsi pandangan dan cadangan untuk memperbaiki program-program sedia ada serta mencadangkan kolaborasi masa depan.

Hari seterusnya, semua delegasi hadir untuk memeriahkan Majlis Pelancaran Bulan Kebolehpasaran Graduan dan Kerjaya Universiti Awam 2024. Penganjuran program ini akan memberikan impak kepada kebolehpasaran graduan, khususnya di UPSI. UPSI berharap program ini akan menyediakan lebih banyak peluang kepada graduan untuk berhubung dengan industri dan majikan, sekaligus meningkatkan kebolehpasaran mereka melalui program latihan, bengkel kerjaya, dan peluang jaringan. Selain itu, majlis ini diharapkan dapat menjadi platform perkongsian maklumat terkini mengenai peluang pekerjaan, tren industri, dan kemahiran yang diperlukan, membolehkan graduan mempersiapkan diri dengan lebih baik untuk memasuki alam pekerjaan.

UPSI berharap dapat memperkukuhkan kerjasama dengan pihak industri, memahami keperluan mereka, dan menyesuaikan kurikulum serta program latihan untuk memenuhi permintaan tersebut. Melalui penyertaan dalam program ini, UPSI berharap dapat memperkenalkan dan mempromosikan program-program akademik mereka, serta meningkatkan pengiktirafan terhadap usaha universiti dalam melahirkan graduan yang berkualiti dan berdaya saing.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)