Oleh: Bazli Razak

Tanjong Malim- Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini menerima kunjungan hormat daripada Naib Canselor DRB-HICOM University sempena Lawatan Penanda Aras DRB-HICOM University of Automotive Malaysia di Bangunan Canselori, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI.

Majlis yang dipengerusikan oleh Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff ini diadakan bagi berkongsi cadangan dan idea dalam pelaksanaan Latihan Industri yang lebih berkesan kepada pelajar.

Majlis hari ini menyaksikan perkongsian idea mengenai Latihan Industri Berstruktur, penanda aras untuk program Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Pendidikan Khas, Program Pesisir, Kem Kembara Pelajar dan kaedah belajar disamping menjana wang.

Naib Canselor DRB-HICOM University, Prof Datuk Sr. Dr. Omar Osman menyifatkan bahawa setiap universiti perlu mempunyai struktur yang kemas dan jelas mengenai Latihan Industri yang dijalankan

“Melalui struktur Latihan Industri yang jelas akan memudahkan pelajar untuk terus diserap didalam industri sejurus sahaja mereka menamatkan Latihan Industri.

Sementara itu, Prof Datuk Dr. Md Amin berkata didalam ucapan beliau melalui kolaborasi tersebut akan memberikan pengalaman sebenar kepada pelajar tentang persekitaran pekerjaan.

“Menerusi kolaborasi ini dilihat memberi peluang pelaksanaan Latihan Industri berstruktur bagi beberapa kluster tumpuan seperti rekabentuk, perakaunan, komunikasi korporat, perisian komputer dan teknologi maklumat’

Tambah beliau lagi bahawa kolaborasi ini mampu membuka peluang kerjasama dalam penyelidikan serta dalam pertukaran kakitangan dan pelajar.

“Saya berbangga jika kakitangan dan pelajar di UPSI ini dapat diberi pendedahan awal mengenai budaya korporat agar dapat menabur bakti di universiti semula pada masa hadapan.

“UPSI sentiasa terbuka untuk menjadi rakan kongsi dalam industri automotif yang bakal berkembang di Tanjong Malim,” katanya.

Turut hadir Sr. Head Technical Training Institute DRB-Hicom University of Automotive Malaysia, Puan Laily Zainal; Pengarah Akademik & Antarabangsa UPSI, Prof Madya Dr.  Ridzwan Che Rus; Pengarah Pusat Latihan Mengajar dan Industri (PULAMI).

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)