Oleh: ‘Aina Kamaruddin, Agatha Urai Engcau dan ChM. Dr. Noorshida Mohd Ali
Bandar Puncak Alam, 11 Julai 2024– Pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) daripada kursus Kimia Tak Organik II (SKT3023), Jabatan Kimia Fakulti Sains dan Matematik (FSM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengadakan satu lawatan akademik ke Atta-Ur-Rahman Institute For Natural Product Discovery (AuRIns) yang terletak di Universiti Teknologi Mara, Kampus Puncak Alam, Bandar Puncak Alam, Selangor.
Terdapat 41 orang pelajar kursus SKT3023 dan diiringi oleh seorang pensyarah kursus berserta 2 orang penolong pegawai sains turut serta dalam lawatan ini.
Menurut saudara Makhrus Agam Mohd Subhan selaku pengarah program, lawatan ini bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar tentang aplikasi ilmu kimia tak organik dalam industri melibatkan instrumen saintifik seperti Difraktometer Sinar-X Hablur Tunggal (Single Crystal X-Ray Diffractometer, SCXRD) dari segi operasi, teknologi dan analisis sampel.
SCXRD merupakan instrumen penting untuk mengenalpasti struktur molekul dalam keadaan pepejal dalam bidang kimia, biologi, dan farmaseutikal.
Sebaik sahaja tiba, lawatan dimulakan dengan aluan dan pengenalan AuRIns oleh Dr. Che Puteh Osman, Timbalan Pengarah AuRIns pada pukul 10.00 pagi dan diikuti dengan sesi penerangan berkaitan kristalografi oleh Dr. Amalina Mohd Tajuddin, yang menjadi tujuan utama lawatan.
Teknik Pembelauan Sinar-X (X-Ray Diffraction, XRD) ialah satu analisis kimia yang banyak digunakan dalam kajian struktur atom bahan khususnya dalam bidang kristalografi.
Teknik ini tidak merosakkan struktur dan jenis atom asal dalam sampel. Dr. Amalina memaklumkan hablur atau kristal yang terhasil bergantung kepada faktor tertentu seperti suhu, tekanan udara dan masa penyejukan pepejal.
Mekanisme pertumbuhan hablur memerlukan dua cara iaitu pembentukan inti dan pertumbuhan inti yang mana prosedur pembentukan hablur seperti seeding, impurity dan stirring yang diaplikasikan oleh pelajar ISMP Kimia semasa menjalankan latihan amali di makmal.
Pepejal hablur tunggal sahaja yang boleh dianalisis menggunakan SCXRD. Sinar-X digunakan sebagai sumber cahaya untuk instrumen ini kerana panjang gelombangnya sama dengan jarak antara atom-atom.
Menurut Dr. Amalina, sampel hablur menyerap sinar-X, dan seterusnya dibelau dengan keamatan dan sudut yang berbeza. Maklumat ini penting dalam penentuan kedudukan setiap atom dan geometri keseluruhan molekul dalam keadaan pepejal, yang boleh ditafsirkan sebagai taburan ketumpatan elektron dalam ruang 3 dimensi.
Pihak AuRIns juga memberi peluang kepada pelajar untuk mengunjungi beberapa instrumen saintifik lain yang juga ada di pusat tersebut seperti Nuclear Magnetic Resonance Spectroscopy (NMR) dan Liquid Chromatography-Mass Spectrometry (LC-MS).
Selain itu, pelajar diberi pendedahan berkaitan teknik Thin Layer Chromatography (TLC). Menurut salah seorang peserta lawatan, “Pilihan kami AuRIns, UiTM Puncak Alam merupakan pilihan yang tepat kerana terdapat fasiliti instrumen yang terkini dan pelbagai jenis”.
Program berbentuk lawatan akademik seperti ini sememangnya menjadi salah satu fokus utama bagi menerapkan kefahaman dalam mengaplikasikan pelajaran dalam kehidupan harian.
Diharapkan program ini sedikit sebanyak telah memberi pendedahan kepada pelajar tentang industri kimia tak organik khususnya kepada bakal pendidik sebelum dan selepas bergelar graduan. Semoga program sebegini bakal diteruskan lagi pada masa akan datang.
Pusat ini ditubuhkan pada tahun 2004 sebagai Institut Kajian Ubatan Semulajadi (IKUS) di bawah Fakulti Farmasi. IKUS diberi status Centre of Excellent (CoE) pada tahun 2008.
Seterusnya IKUS diberi penamaan semula sebagai Atta-Ur-Rahman Institute for Natural Product Discovery (AuRIns) sempena menghargai sumbangan Profesor Atta-Ur-Rahman, seorang saintis Islam terkenal dalam bidang bahan semulajadi kimia dari Pakistan.
Fokus utama AuRIns adalah penyelidikan yang merangkumi beberapa disiplin seperti kimia, biologi, dan farmakologi, dengan tujuan memajukan pengetahuan dan menggalakkan kerjasama dalam penemuan dan pembangunan produk asli