Oleh: Bazli Razak

California- Siswa jurusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Perisian dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Alan Tan Khee Sheng meraih tempat ke-7 dalam kejohanan Adobe Certified Professional World Championship 2024 yang diadakan di California.

Siswa semester ke-2 dari Fakulti Komputeran dan META-Teknlologi (META), UPSI itu bersaing dengan 47 orang peserta yang mewakili lebih 40 negara dari seluruh dunia bagi merangkul anugerah tersebut yang berlangsung pada 28 hingga 31 Julai yang lalu.

“Saya berbangga dengan hasil kerja yang telah saya lakukan pada tahap ini namun yang paling penting saya dapat mengharumkan nama UPSI dan Malaysia di persada antarabangsa.

“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih juga diucapkan kepada pihak UPSI kerana memberi tunjuk ajar dan peluang kepada saya untuk menyertai kejohanan dunia pada kali ini” katanya.

Pensyarah Kanan, Jabatan Sains Komputer & Teknologi Digital, FKMT, UPSI, Encik Ahmad Nurzid Rosli yang juga mengiringi Alan Tan Khee Sheng di pentas dunia itu turut menzahirkan rasa bangga di atas pencapaian anak didiknya itu.

Encik Ahmad Nurzid Rosli (kiri) bersama Alan Tan Khee Sheng

ACP World Championship merupakan program yang dipertandingkan di peringkat antarabangsa bagi menguji kemahiran reka bentuk pelajar menggunakan Adobe Ilustrator, Photoshop dan InDesign.

Poster yang dihasilkan oleh Alan Tan Khee Sheng

Pada edisi kali ini, peserta akan menggunakan perisian Adobe Creative Cloud untuk merekabentuk sebuah poster yang bertajuk ‘Digital Skills for A Sustainable Future’ selama 8 jam.

Terdahulu, Alan Tan Khee Sheng dinobatkan sebagai naib johan dalam Kejohanan Kebangsaan Adobe Certified Professional (ACP) Malaysia 2024 pada Mei yang lalu sekaligus melayakkan beliau mewakili Malaysia dalam kejohanan Adobe Certified Professional World Championship 2024.