Oleh: Murihah Abdullah dan Ah-Luqman Al-Hakim Che’ Zahari
Tanjong Malim, 29 Ogos 2024 – Institut Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami (IPTTI) mengadakan Persidangan Meja Bulat Hala Tuju IPTTI bertempat di Dewan Muallim, Scholar’s Suites, Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Persidangan ini bertujuan mendapatkan idea dan cadangan daripada ahli akademik serta pakar-pakar berkaitan hala tuju dan matlamat penubuhan IPTTI sekaligus mempromosikan IPTTI di pelbagai peringkat.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Senator Dr. Zulkifli bin Hassan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Dalam ucapan perasmiannya, beliau menyatakan bahawa institusi pendidikan tahfiz dan turath memainkan peranan yang besar dalam memelihara dan menyebarkan warisan turath Islami.
Warisan ini adalah sebahagian daripada identiti tradisi dan menjadi tanggungjawab sebagai fardu kifayah untuk memeliharanya.
Beliau turut menegaskan komitmen oleh YAB Perdana Menteri bahawa kerajaan sentiasa dan akan terus memperkasa sistem pendidikan tahfiz dan turath sesuai dengan hasrat masyarakat untuk melahirkan generasi muslim yang terdidik dan holistik.
Dengan adanya kerjasama dan komitmen daripada semua pihak yang terlibat, diharapkan kita dapat membuat perubahan yang signifikan dalam pendidikan tahfiz dan turath Islami.
Persidangan bermula dengan pembentangan berkenaan IPPTI oleh Prof. Madya Dr. Ibrahim Hashim.
Persidangan ini dihadiri oleh Tan Sri Alimuddin Mohd Dom selaku Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Islam Kebangsaan; Sahibus Samahah Dato’ Hj. Zamri Hashim selaku Timbalan Mufti Perak; Tan Sri Idris Jusoh sebagai pengasas Pendidikan Ulul Albab Malaysia; serta 30 orang ahli panel yang terdiri daripada wakil-wakil kementerian, universiti, dan agensi kerajaan mahupun swasta.
Pada sesi akhir persidangan, resolusi dibacakan oleh Prof. Dr. Azmil Hashim dari IPTTI.
IPTTI adalah penjenamaan semula Akademi Pondok Bitara (APB). Bangunan IPTTI sedang dalam proses pembinaan dan dibangunkan sepenuhnya berdasarkan dana wakaf melalui inisiatif Pusat Wakaf, Endowmen, Zakat, Khairat dan Sedekah (WEZAS UPSI).