Oleh: Bazli Razak

Tanjong Malim, 30 September 2024 – Pelajar Ijazah Sarjana Muda yang baru mendaftar di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini mempunyai latar belakang yang cemerlang dari segi pencapaian akademik, sukan, kepimpinan dan kokurikulum.

Perkara tersebut disaksikan sendiri oleh Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff bersama seramai 4195 pelajar baharu Ijazah Sarjana Muda sempena Majlis Ikrar Pelajar UPSI Ambilan September 2024/2025 di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI.

Prof Datuk Dr. Md Amin (enam dari kiri) bersama pelajar cemerlang dalam inovasi

Dalam majlis tersebut menyaksikan pelbagai pencapaian yang membanggakan terdahulu yang dirangkul oleh pelajar baharu UPSI dalam bidang inovasi, pencipta perisian akademik, atlet sukan negara serta bakat kepimpinan sewaktu sekolah, matrikulasi dan pra-universiti.

Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, majlis yang diadakan itu menjadi medium kepada beliau bagi mengenali pelajarnya dengan lebih lanjut dari segi pencapaian yang berjaya diperolehi sebelum ini.

Para pelajar yang cemerlang dalam bidang kokurikulum

“Kita lihat ada pelajar kita yang memperolehi juara dalam Innovator, Juara dalam Tilawah Al-Quran walaupun mempunyai masalah cacat penglihatan, ada ahli sukan, ada ahli pidato dan sebagainya.

“Hal ini demikian kerana pelajar UPSI sememangnya hebat dan cemerlang secara holistik, bukan semata-mata cemerlang dalam akademik tetapi seimbang dalam segenap aspek.

Prof Datuk Dr. Md Amin semasa menyampaikan ucapan

Beliau juga dalam majlis tersebut menitipkan pesanan kepada pelajarnya untuk mengamalkan budaya UPSI iaitu budaya senyum, sapa dan salam serta sentiasa mengenang jasa ibu bapa yang banyak berjasa.

“Semoga kecemerlangan ini dapat diteruskan sampai bila-bila agar dapat menjadi insan yang menjadi contoh kepada anak bangsa masa hadapan,” ujar beliau dalam majlis tersebut.

Dalam majlis yang sama, beliau juga turut hadir bagi menyempurnakan sesi penyerahan surat tawaran Program Pembangunan Siswa SULUNG, UPSI kepada 5 orang pelajar penerima yang terpilih

Antara pelajar yang terpilih adalah Nurul Hazwanie Badeli, Nurin Irdina Zambi, Nur Fatihah Mohammad Samsudin, Nur Aliz Airiz Kamarudin dan Nurul Ain Natasha Hasmadi

Nurul Hazwanie Badeli antara penerima surat tawaran Program Pembangunan Siswa SULUNG UPSI

Program SULUNG merupakan inisiatif daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam membantu pelajar B40 menjadi individu pertama dalam keluarga menjejaki kaki ke universiti dengan memberi penawaran pengecualian yuran universiti.