Oleh: Bazli Razak
Tanjong Malim, 7 Oktober 2024 – Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff hadir merasmikan Pusat Data Utama UPSI di Dewan Konvensyen, Bangunan E-Learning, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini.
Beliau berkata, pembangunan Pusat Data Utama, Pusat Teknologi Maklumat & Komunikasi (ICT) yang berkeluasan 2,970 kaki persegi itu merupakan salah satu petunjuk prestasi dalam Pelan Strategik UPSI 2021-2025 di bawah teras 6 Kelestarian Ekosistem.

“Pusat Data Utama yang dilengkapi dengan kemudahan bilik server, bilik operasi, bilik persediaan & perbincangan dan bilik mekanikal & elektrikal ini dapat menyediakan keluasan ruang lantai yang mencukupi bagi menampung keperluan sumber pengkomputeran UPSI sehingga 20 tahun mendatang.
“Melalui pengoperasian Pusat Data yang memenuhi piawaian bagi pensijilan ISO/IEC 27001:2022 bakal membantu melonjakkan tahap keyakinan warga UPSI serta pelanggan luar terhadap keselamatan perkhidmatan pengkomputeran dan perkhidmatan digital UPSI.
Jelasnya, Pusat Data Utama ini menggunapakai rekabentuk data ‘Aisle Containment’ dengan teknologi operasi cekap tenaga bagi penjimatan penggunaan tenaga sehingga 27 peratus yang pasti menjadi penanda aras baharu dalam keberkesanan penggunaan tenaga.

“Pembangunan Pusat Data Utama ini dengan kemudahan bertaraf antarabangsa bukan sahaja akan memperkasakan bidang pendidikan untuk memanfaatkan teknologi canggih seperti AI dan pengkomputeran awan, tetapi akan meningkatkan keupayaan UPSI untuk bersaing dalam rantaian nilai global,” kata beliau dalam ucapan perasmian majlis tersebut.
Dalam majlis yang sama, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff serta Ahli Jawatankuasa Pengarah Universiti (JKPU) turut dibawa melawat Pusat Data Utama UPSI yang terletak di bangunan E-Learning tersebut.

Sementara itu, Ketua Pegawai Digital, Pusat ICT UPSI, Ts. Dr. Megat Azrin Ahmad berkesempatan memperkenalkan beberapa pasukan Pusat ICT UPSI yang sentiasa menyokong ekosistem ICT di sini.
“Pasukan Infra bertanggungjawab menguruskan Pusat Data yang mempunyai 130 server fizikal, 113 virtual server yang terdiri dari 9000 node, 4 core switch, 27 distribution, 486 access, 2425 access point, menguruskan email staf sebanyak 3661, email pelajar sebanyak 26374 dan telefon IP sebanyak 1500 unit.

“Pasukan Teknikal & Operasi adalah pasukan yang menguruskan audio visual dan LED bersama Bahagian Komunikasi Korporat UPSI (BKK) dalam setiap acara universiti.
Tambah beliau, pasukan ini juga menguruskan lebih 200 bilik kuliah, menguruskan keperluan notebokk untuk setiap program serta menyelenggara lebih 1800 unit PC staf di UPSI seperti antivirus dan perisian.
“Pasukan Infostruktur menguruskan sistem dalaman setiap Pusat Tanggungjawab (PTj), terlibat dalam inovasi, penyelidikan dan pengkomersilan.
Terdahulu, kedudukan asal Pusat Data UPSI mempunyai keluasan 455.7 kaki persegi yang boleh menempatkan 9 buah rak untuk menampung 145 unit server termasuk perkakasan storan dan rangkaian sudah tidak dapat menampung kerana telah mencapai tahap maksimum kapasiti pengguna.
Melalui Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JKPU) pada 15 Oktober 2021 telah bersetuju meluluskan cadangan pembangunan Pusat Data Utama UPSI melibatkan anggaran perbelanjaan berjumlah RM 3.5 Juta.

Turut hadir sama Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Prof Dr. Abdul Rahim Razalli; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof Dr. Norkhalid Salimin; Pendaftar UPSI, En. Helmi Zaifura Abdul Rahman; Bendahari UPSI, En. Mohamad Najib Mohamed; Penasihat Undang-Undang, Pn Salwati Mohd Aris; Pengarah, Bahagian Komunikasi Korporat, Prof Madya Dr. Mohd Izwan Shahril.
