Oleh: Nur Atirah Hassan
Tanjung Malim, 1 Oktober 2024 – Program Sembang Santai Bersama JAIPk yang dianjurkan oleh Pusat Islam UPSI bersempena pendaftaran pelajar baharu ijazah sarjana muda ambilan Oktober 2024/2025 berlangsung dengan jayanya pada malam Selasa, 1 Oktober 2024.
Bertempat di Masjid Al-Mursyidin, UPSI, program ini menampilkan Penyelaras Operasi, Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Ustaz Hafez Rezal Abdul Manan, sebagai panel utama.

Program yang bermula pada jam 7.30 malam ini bertujuan mendidik serta meningkatkan kesedaran mahasiswa UPSI tentang cabaran semasa berkaitan isu ajaran sesat dan pergaulan bebas, yang semakin membimbangkan.
Dalam sesi perkongsiannya, Ustaz Hafez menekankan bahawa ajaran sesat masih berleluasa di Malaysia, meskipun sudah banyak usaha penguatkuasaan dilakukan.
Beliau turut menegaskan bahawa ajaran-ajaran ini seringkali menyasarkan golongan muda, termasuk mahasiswa, yang masih dalam proses mencari identiti dan makna hidup.


Selain itu, Ustaz Hafez turut menyentuh mengenai isu pergaulan bebas di kalangan mahasiswa, yang menurutnya, perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak. Beliau menyeru mahasiswa supaya memelihara batas-batas pergaulan serta tidak terjerumus dalam tingkah laku yang boleh mencemarkan maruah dan agama.
Pergaulan bebas bukan sahaja menjejaskan imej individu, malah boleh mengundang implikasi sosial yang lebih besar jika tidak dikawal.


Program ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada para pelajar, khususnya pelajar baharu yang baru sahaja memulakan perjalanan akademik mereka di UPSI.
Sembang Santai Bersama JAIPk diakhiri dengan sesi soal jawab interaktif, di mana pelajar berpeluang bertanya kepada Ustaz Hafez tentang pelbagai persoalan berkaitan ajaran sesat dan cara menjaga diri dalam pergaulan.
Pusat Islam UPSI berharap program sebegini akan terus memberi kesedaran kepada mahasiswa untuk lebih peka terhadap isu-isu yang berkaitan dengan agama dan moral, serta mengamalkan kehidupan yang selari dengan ajaran Islam.