Oleh: Arissa Hasya Auni

Ipoh, 9 Oktober 2024 –  Persidangan Kebangsaan Eksplorasi Pendidikan (PKEP) melabuhkan tirai pada 9 September 2024 lalu di Hotel Casuarina Meru, Ipoh, Perak dengan sesi Bengkel Penulisan Manuskrip Menggunakan Aplikasi AI oleh Dr Muhamad Fadzillah Zaini.

Menurut Pengarah Pejabat Karang Mengarang (PKM),  Dr Nordiana Hamzah, PKEP dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Digital Perak Corporation Holdings, Mohamad Suhaimi Mohamad Tahir pada 8 September 2024 lalu.

Turut bersama dalam majlis perasmian itu ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi UPSI), Profesor Dr Suriani Abu Bakar dan Naib Canselor Albukhary International University (AIU), Profesor Dato’ Ir Dr Mohd Saleh Jaafar.

“Jemputan UPSI kepada Digital Perak adalah bagi menjalinkan kerjasama dan jaringan UPSI dalam bidang AI selain kerjasama pendigitalan lain sesuai dengan tema persidangan iaitu “Menerajui Pendidikan Menerusi Kecerdasan Buatan (AI)” tambah beliau.

Menurut Dr Nordiana lagi, PKM juga bakal bekerjasama dengan AIU dalam menyumbang kepakaran dan kosultansi berkaitan entiti penerbitan di AIU selain cadangan penerbitan buku AIU oleh PKM.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi I PKEP, Dr Laili Farhana Ibharim berkata sepanjang 2 hari program berlangsung sebanyak 33 kertas kerja dibentangkan dan seorang peserta mengemukakan video pembentangan. Daripada jumlah itu, seramai 6 orang pembentang diumumkan menerima sijil pembentang terbaik.

Antara Penerima Sijil Pembentang Terbaik PKEP
Antara Penerima Sijil Pembentang Terbaik PKEP

“PKM akan menerbitkan kertas kerja yang dibentangkan dalam bentuk e-prosiding  manakala penerbitan makalah dalam jurnal-jurnal UPSI akan dipilih oleh Ketua Editor jurnal yang berkaitan dengan skop dan melalui proses “review” iaitu amalan penerbitan jurnal berwasit. Untuk penerbitan jurnal, pihak PKM akan melakukan mesyuarat bersama 29 Ketua Editor jurnal UPSI” tambah Dr Laili.

Dr Laili menyampaikan Sijil Pembentang Terbaik PKEP

Menurut Dr Laili lagi, dua ucaptama yang disampaikan oleh Profesor Madya Dr Azizi Ab Aziz dari Universiti Utara Malaysia dan Profesor Madya Dr Bahbibi Rahmatullah membantu para peserta untuk memahami  AI itu sendiri menerusi ucaptama bertajuk “AI dan Manusia” dan “Bersama Memanfaatkan AI dalam Era Baharu Dunia Pendidikan”.

Ucaptama oleh Dr Bahbibi

Timbalan Pengerusi II, PKEP, Ahmad Janatul Firdaus Dzulkarnain berkata salah satu tarikan PKEP ialah jualan buku oleh PKM dan jualan produk penyelidikan oleh Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi.

Sepanjang program berlangsung, meja jualan produk UPSI ini dikunjungi oleh para peserta daripada Jabatan Pendidikan Negeri Perak dan juga peserta program Perak Sejahtera 2030 Summit X Pemikir Darul Ridzuan 2023 anjuran Institut Darul Ridzuan (IDR).

Perbincangan Pengarah PKM dengan Wakil DPMM

“PKM turut mengadakan perbincangan dengan pihak Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Perak yang dihadiri oleh Azizi Zam, Setiausaha Kehormat DPMM bagi menjalinkan kerjasama strategik dalam penerbitan bersama DPMM selain kerjasama keusahawanan pelajar serta penyertaan tapak jualan” kata Ahmad.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)