Oleh: CHIN KHAI XIAN

Tanjong Malim, 11 Oktober 2024 – STEM (Science, Technology, Engineering, Mathematics) adalah bidang kritikal bagi pembangunan negara, namun Matematik, salah satu komponen utama STEM, sering dianggap sukar oleh pelajar.

Persatuan Mahasiswa Sains dengan kerjasama Fakulti Sains dan Matematik, UPSI, menganjurkan MIST’24: Motivational Talk Stigma In Maths sempena Muallim International Science, Technology, Innovation, Mathematics and Sustainable Fiesta (MIST) 2024, bertempat di Dewan Tuanku Canselor, UPSI pada 11 Oktober 2024.

Program ini bertujuan meningkatkan minat terhadap Matematik dalam kalangan mahasiswa/i UPSI.

Penceramah jemputan, Encik Halim Amat@Kamaruddin atau lebih dikenali sebagai Master Halim, pakar pendidikan Matematik dari Fakulti Sains dan Matematik telah berkongsi pelbagai kaedah kreatif untuk membantu peserta memahami Matematik dengan lebih mudah.

Sesi Perkongsian Oleh Master Halim

Antara pendekatan menarik yang diperkenalkan ialah Tambah Kekisi, Tambah Teknik U, Darab Kekisi, dan Teknik Palang.

Beliau turut berkongsi cara mudah untuk mendapatkan formula seperti Teorem Pythagoras dan formula kuadratik.

Lebih penting lagi, Master Halim menekankan kepentingan berfikir di luar kotak dan menanam keyakinan ketika mempelajari Matematik.

Peserta Mengajukan Persoalan kepada Master Halim Semasa Sesi Soal Jawab

Seramai 1600 peserta telah menyertai program ini dan kagum dengan kaedah inovatif yang diperkenalkan oleh Master Halim.

Menurut Pengarah Program, Sritharan Murugan, sesi ini berjaya mengubah persepsi peserta terhadap Matematik dan meningkatkan keyakinan mereka dalam menguasai subjek ini. Sesi soal jawab yang interaktif turut menunjukkan minat mendalam para peserta terhadap Matematik.

Ahli Jawatankuasa Mengambil Gambar Bersama Master Halim
 

Secara keseluruhannya, program ini bukan sahaja berjaya memupuk minat yang lebih mendalam terhadap Matematik tetapi juga memberikan peserta kaedah penyelesaian yang lebih praktikal dan mudah difahami.

Sesi Fotografi Bersama Peserta dan Para Jemputan
 

Ini selaras dengan matlamat program untuk memartabatkan bidang STEM, khususnya Matematik, dalam kalangan mahasiswa UPSI.