Oleh: Nur Amirah Hana Azizi
Tanjung Malim, 18 Oktober 2024 – Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (EDGE) mengadakan Perasmian Bazar Solar@UPSI di Tapak Parkir Solar Masjid Al-Mursyidin.
Perasmian yang diadakan bersempena Masjid Al-Mursyidin Open Day selama 2 hari dengan kerjasama Badan Pelajar daripada Bahagian Hal Ehwal Pelajar disempurnakan oleh Bendahari UPSI, Encik Mohamad Najib Mohamed.
Bazar Solar yang berlangsung dari 9.00 pagi hingga 11.00 malam ini menarik ramai pengunjung yang terdiri daripada pelajar serta pensyarah.
Mereka berkunjung ke tapak niaga yang dikendalikan oleh badan-badan pelajar serta UNIpreneur Bank Rakyat dan juga pelajar-pelajar yang berniaga atau lebih dikenali sebagai UPSIpreneur di bawah EDGE. Sebanyak 50 reruai yang terdiri daripada jualan dan pameran.
Seperti yang sedia maklum pembinaan parkir solar ini bukan sahaja memberi kemudahan kepada warga UPSI malah ia merupakan inisiatif yang digunakan untuk menjimatkan penggunaan elektrik serta menyokong eko-sistem keusahawanan.
“Pihak UPSI membuka ruang kepada pelbagai pihak untuk menjalankan aktiviti menggunakan kemudahan ini.
Bazar Solar@UPSI merupakan salah satu dari inisiatif pihak pengurusan UPSI melalui EDGE bagi menggalakkan, mendorong dan menyediakan ruang dan peluang bagi menyuburkan eko-sistem keusahawanan dalam kalangan pelajar UPSI” katanya ketika berucap di perasmian tersebut.
Selain itu, pengunjung yang hadir juga berpeluang menyertai beberapa aktiviti yang disediakan oleh persatuan-persatuan di bawah badan pelajar (BHEP), EDGE, Pusat Ulul Albab dan Pusat Islam.
Antara jualan yang terdapat ialah makanan, minuman, aksesori dan produk kraftangan. Ini menunjukkan semangat keusahawanan sudah dipupuk dalam diri pelajar melalui karnival sebegini selain dapat menjana pendapatan.
Turut hadir bersama-sama memeriahkan Perasmian Bazar Solar@UPSI ini Naib Presiden, Komunikasi & CSR, Bank Rakyat, Puan Siti Norayu Mohd Jamil; Pengurus Cawangan Bank Rakyat Tanjong Malim, Encik Rizal Radzi serta Ketua Penolong Setiausaha, Seksyen Pemantauan Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi (KUSKOP), Puan Faridah Nor Mohd Yasin.
Kehadiran pengunjung yang ramai membuktikan bahawa acara ini sangat memberi peluang dan ruang pelajar melibatkan diri dengan aktiviti keusahawanan dan mendedahkan mereka dengan realiti perniagaan yang sebenar.
Bazar Solar akan berlangsung setiap hari Jumaat bermula dari selepas solat Jumaat sehingga jam 10 malam.
Dengan kejayaan acara ini, EDGE berharap untuk menganjurkan lebih banyak program seumpama pada masa akan datang. Para pelajar juga digalakkan memanfaatkan segala kemudahan yang disediakan oleh pihak pengurusan Universiti Pendidikan Sultan Idris ini.