Oleh: Anis Amirah Abdul Latiffe dan Nur Amirah Rohim

Tanjung Malim, 18 Oktober 2024– Masjid Al-Mursyidin, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) meneruskan kejayaannya dengan Program Masjid Open Day anjuran Pusat Islam, dengan kerjasama Pusat Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Ulul Albab bersama Kolej-kolej kediaman serta Persatuan-persatuan pelajar, berjaya menarik perhatian warga UPSI dan masyarakat muallim.

Program ini bertujuan mempereratkan hubungan antara komuniti melalui pelbagai aktiviti menarik dan bermanfaat. Ia disambut meriah dengan kehadiran lebih daripada 1000 orang pengunjung, termasuk Muslim dan non-Muslim, saling menunjukkan semangat dan sokongan tinggi dalam acara ini.

Hari pertama dimulakan dengan Kursus Asas Tarannum Siri 3 yang dikendalikan oleh Johan Tilawah Peringkat Negeri Perak, Ustaz Haji Radzi Kamarul Hailan, memberi peluang kepada peserta mempelajari teknik bacaan Al-Quran dengan lebih baik.

Program kemudian diikuti dengan tazkirah sebelum solat Jumaat dan khutbah Jumaat di Masjid Al-Mursyidin.

Selain itu, Karnival Bazar Solar Keusahawanan yang beroperasi dari jam 8.30 pagi hingga 11.30 malam turut mencuri perhatian ramai.

Acara ini menampilkan aneka gerai makanan dan produk jualan menarik daripada pelbagai kelab persatuan Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Ia bukan sahaja memberi peluang kepada mahasiswa menjana pendapatan, malah membantu mereka mengasah kemahiran keusahawanan yang penting untuk masa depan.

Acara malam diteruskan dengan Kuliah Maghrib Khas yang disampaikan oleh penceramah jemputan. Suasana malam turut dimeriahkan dengan persembahan Qasidah oleh kumpulan Soutul Ansar yang menghiburkan para pengunjung.

Program diteruskan dengan ucapan daripada Tn. Hj. Mohamad Najib Hj. Mohamad sekali gus merasmikan Majlis Pelancaran Bazar Solar.

Hari kedua dimulakan dengan Qiamullail Challenge (AMC) seawal jam 4:30 pagi hingga 5:30 pagi. Program ini memberi peluang kepada mahasiswa untuk meningkatkan amalan spiritual dengan berqiamullail secara berjemaah, diikuti dengan Subuh Macam Jumaat, dipimpin oleh Imam Muda Nuri dari jam 5:30 pagi hingga 7:00 pagi, membawa suasana solat Subuh berjemaah seakan solat Jumaat dengan tazkirah penuh pengisian.

Seterusnya, acara pagi diteruskan dengan senaman tai-chi yang dimulakan pada jam 7:15 pagi hingga 7:45 pagi, dengan kerjasama daripada KRT Taman Malim.

Senaman ini bukan sahaja menguatkan jasmani, malah membantu mengurangkan tekanan dan memberi kesejahteraan minda.

Selari dengan itu, Pemeriksaan Kesihatan, Saringan HIV & PEKA B40 yang berlangsung pada jam 8:30 pagi hingga 4:30 petang, memberi ruang kepada warga kampus untuk memeriksa tahap kesihatan mereka secara percuma.

Pelbagai pemeriksaan kesihatan ditawarkan bagi meningkatkan kesedaran tentang pentingnya penjagaan kesihatan dalam kehidupan seharian.

Aktiviti lain yang turut berlangsung termasuk Jelajah Masjid Al-Mursyidin (AMC) dari jam 8:30 pagi hingga 12:00 tengah hari, bertujuan memperkenalkan fungsi dan peranan masjid sebagai pusat kecemerlangan rohani dan intelektual.

Ini diikuti dengan Perkhidmatan Kaunter Tabung Haji serta Pameran & Galeri Pusat Islam UPSI, yang menarik perhatian ramai peserta yang ingin mendalami ilmu agama.

Program ini diteruskan dengan Jualan Rahmah di perkarangan parkir Masjid Al-Mursyidin, disusuli Aktiviti Derma Darah yang dijalankan oleh pihak HSR dari jam 9:00 pagi hingga 12:00 tengah hari, terbuka kepada warga UPSI dan komuniti luar yang ingin menyumbang dan membantu mereka yang memerlukan.

Selain itu, Seminar Dakwah Masyarakat Majmuk (Ulul Albab) yang diadakan di Masjid Al-Mursyidin menyediakan platform wacana terbaik bagi membincangkan strategi penyampaian dakwah yang berkesan dalam masyarakat berbilang kaum sekali gus mengetengahkan peranan dakwah dalam menyatupadukan masyarakat melalui pemahaman yang mendalam tentang kepelbagaian budaya dan agama.

Keseluruhan program yang berlangsung selama dua hari ini berjaya mencapai objektifnya dalam menggalakkan kecemerlangan rohani, fizikal dan intelektual dalam kalangan warga kampus. Masjid Al-Mursyidin Open Day bukan sahaja menjadi platform untuk memupuk amalan kesihatan rohani dan jasmani, malah memperkukuhkan ukhuwah dan semangat kebersamaan terutamanya mahasiswa di Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Diharapkan agar program sebegini akan terus diadakan di masa hadapan, membawa manfaat yang lebih besar dan mendalam kepada seluruh komuniti.