Oleh: Wan Musfirah Sanaa’ Wan Ahmad Sadaba dan Cik Ummikalsum Mat Lazim
Tanjong Malim, 6 Julai 2024- Persatuan Tahfiz Al-Quran dan Qiraat menganjurkan program Pra Syahadah Al-Quran yang berlangsung selama dua hari berturut-turut.
Program ini bertujuan untuk menambah baik kualiti hafazan para mahasiswa UPSI bergelar hafiz dan melahirkan pelajar yang mutqin dalam hafazan Al-Quran Sebagaimana yang kita maklum melalui hadith keutamaan membaca Al-Quran iaitu“Bacalah Al-Qur’an, kerana ia akan datang pada hari kiamat memberikan syafaat kepada pembacanya.” (Hadits Riwayat Muslim).
Oleh itu, program ini menanamkan lagi semangat mengulang Al-Quran terhadap para mahasiswa. Program ini telah melibatkan sebanyak enam orang panel jemputan yang terdiri daripada para pensyarah tahfiz UPSI dan para peserta yang terdiri daripada ISM Tahfiz Al-Quran dan Qiraat dengan Pendidikan, ISMP Pendidikan Islam serta ISMP Bahasa Arab.


Menurut Ketua Jabatan Pengajian Islam, Prof. Madya Dr Husna Husain, program ini menjadi pemangkin motivasi buat para pelajar untuk mengulang Al-Quran secara tidak langsung banyak ilmu dapat ditimba oleh para pelajar melalui perkongsian kata-kata mutiara oleh para pensyarah.
“Program ini perlu diteruskan bagi memberi pengiktirafan kepada pelajar yang bertungkus-lumus mengulang hafazan demi memelihara kesucian al-Quran”, ujar beliau.


Majlis penutup Program Pra-Syahadah Al-Quran ini telah berlangsung dengan jayanya pada 6 Julai 2024 bersamaan hari Sabtu, pada pukul 8.00 malam.
Majlis penutup ini telah diserikan lagi dengan ucapan Ketua Jabatan Pengajian Islam, Prof Madya Dr. Husna Husain dan ucapan perasmian daripada Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Dr. Abu Zarrin Selamat.


Penyampaian sijil dan saguhati juga diberikan buat para pensyarah dan para peserta yang terlibat dalam menjayakan program Pra Syahadah Al-Quran ini.
Menurut Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Dr. Abu Zarrin Selamat, turut memberikan ucapan penghargaan dan tahniah buat seluruh para peserta yang melibatkan diri dalam program ini serta Jawatankuasa yang terlibat dalam menjayakan program ini.

Program ini perlu dikembangkan di peringkat kebangsaan bagi memberikan peluang kepada semua peringkat untuk menyertainya.
Semoga kita menjadi golongan yang mempelajari dan mengajari Al-Quran sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah SAW “Sebaik-baik kamu adalah orang yang belajar Al-Qur’an dan mengajarkannya.” (HR. Bukhari).
