Oleh: Ewin Ewan
Tanjong Malim, 12 Oktober 2024 – Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris menjadi saksi penyertaan mahasiswa UPSI dalam program derma darah.
Bersempena dengan Muallim International Science, Technology, Innovation, Mathematics, and Sustainable Fiesta 2024 (MIST’24), Persatuan Mahasiswa Sains (PMS) UPSI dengan kolaborasi bersama Unit Tabung Darah Hospital Slim River, Perak serta Fakulti Sains dan Matematik (FSM) menganjurkan Program Derma Darah MIST’24: Blood Donation Hours bertempat di Ruang Legar Dewan Tuanku Canselor pada 12 Oktober 2024.
Program yang bermula seawal jam 9.00 pagi ini berjaya menarik penyertaan lebih 200 mahasiswa dan mahasiswi UPSI yang terdiri daripada pelbagai fakulti.

Para peserta perlu mengisi borang maklumat penderma sebelum menjalankan beberapa ujian saringan mandatori. Ujian ini merangkumi pemeriksaan jenis dan paras hemoglobin darah, timbang berat badan dan pemeriksaan tekanan darah.
Kelayakan seseorang untuk menderma darah ditentukan oleh pegawai perubatan atau jururawat yang bertugas.

Program ini diserikan lagi dengan kehadiran Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPSI, Prof. Dr. Suriani Abu Bakar serta Dekan FSM, Prof. Madya Dr. Mohd. Faizal Nizam Lee Abdullah yang sudi meluangkan masa bersama para peserta.
Tidak ketinggalan juga ChM Dr. Mohamad Idris Saidin serta Dr. Siti Nur Akmar Mohd Yazid selaku penasihat persatuan turut hadir bagi memastikan kelancaran program berlangsung.

Matlamat utama program ini dianjurkan adalah untuk memberi kesedaran tentang kepentingan menderma darah di samping menanam sifat keprihatinan terhadap penderitaan insan yang memerlukan.
Tidak kurang juga, platform sebegini membuka ruang dan peluang bagi mempromosikan kepada para peserta untuk meningkatkan kesedaran tentang perlunya sentiasa memiliki tubuh badan yang sihat dan mengamalkan gaya hidup sihat, terutamanya dalam kalangan warga UPSI serta warga Muallim.

Pengarah program yang juga merupakan ahli barisan Persatuan Mahasiswa Sains menyatakan rasa bersyukur dan berbangga dengan semangat yang ditunjukkan oleh para peserta terutamanya mahasiswa mahasiswi UPSI yang turut hadir untuk menderma darah walaupun terpaksa menunggu lama dek kerana bilangan peserta yang ramai.
Keseluruhan aktiviti berakhir pada jam 2.40 petang dengan hasil kutipan keseluruhan sebanyak hampir 80 beg darah berjaya disumbangkan oleh para peserta yang majoritinya merupakan mahasiswa dan mahasiswi UPSI.

Program ini diakhiri dengan sesi penyampaian cenderamata kepada pihak Hospital Slim River. Cenderamata tajaan FSM disampaikan oleh Pengarah Program MIST’24: Blood Donation Hours mewakili ahli jawatankuasa yang terlibat kepada Ajmal Abu Bakar selaku Ketua Unit Tabung Darah Hospital Slim River.
Sesi ini diadakan sebagai tanda penghargaan terhadap usaha dan komitmen pihak Hospital Slim River dalam menjayakan program ini.
Tuntasnya, dengan sinergi serta sokongan padu daripada semua pihak, diharapkan program seumpama ini akan dapat dianjurkan lagi pada masa akan datang demi kebaikan serta kemaslahatan bersama.