Oleh: SITI RADIAH BINTI NOR RAHIMMI dan LIEW EN XIN

Tanjung Malim, 12 Oktober 2024 – Suasana malam yang gelap gelita dan sepi di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bertukar ceria apabila lebih 600 peserta yang terdiri daripada semua lapisan masyarakat memakai gegelung ‘bersinar dalam gelap’ berwarna-warni.

Larian amal ini merupakan daripada siri program di bawah Muallim International Science, Technology, Innovation, Mathematics and Sustainable Fiesta 2024 (MIST’24) anjuran Persatuan Mahasiswa Sains (PMS) dari Fakulti Sains dan Matematik UPSI dengan kerjasama Majlis Kanser Nasional (MAKNA) serta Jabatan Biologi, Fakulti Sains dan Matematik.

Antara peserta yang menyertai Neon Night Charity Run

Acara larian amal dimulakan dengan penuh semangat, meskipun hujan lebat mencurah-curah. Para peserta telah dilepaskan oleh Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Fakulti Sains dan Matematik UPSI, Dr. Mohd Ikhwan Hadi Yaacob, bermula jam 9.00 malam.

Selain bergembira menyertai larian santai sejauh 5 kilometer (km) melalui kawasan Kampus Sultan Azlan Shah, acara arian amal ini dianjurkan sebagai tanda sokongan moral kepada para pejuang kanser dan memberi tumpuan kepada pengumpulan dana melalui yuran penyertaan peserta.

Acara larian bermula dan para peserta berlari dengan semangat

Di samping larian, acara turut diceriakan lagi dengan sesi cabutan bertuah. Ini menambah lagi keceriaan acara larian amal ini, di samping telah berjaya mengumpul dana yang signifikan untuk membantu pesakit-pesakit kanser melalui MAKNA.

Hasil kutipan dana sebanyak RM 1,500.00 telah berjaya dikumpul dan diberikan kepada wakil pihak MAKNA.

Peserta tetap bersemangat walaupun hujan lebat

Secara keseluruhannya, program ini berjaya mencapai objektifnya dalam meningkatkan kesedaran tentang kanser serta mengumpul dana untuk mereka yang memerlukan.

Diharapkan agar program seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang, bagi memastikan masyarakat, terutamanya golongan muda, sentiasa prihatin dan menyokong usaha-usaha murni dalam membantu pesakit kanser di Malaysia.