Oleh: Kamarul Ismail
Banda Aceh, 20 Oktober 2024 – Anak kandung suluh budiman sekali lagi melakar sejarah apabila berjaya memenangi pertandingan berprestij di peringkat antarabangsa.
Pertandingan inovasi pendidikan mengenai bencana (U-DARE2.0) ini berlangsung pada 18 hingga 20 Oktober 2024 di Universitas Syiah Kuala, Banda Acheh, Indonesia bersempena ulang tahun ke 20 bencana tsunami yang melanda Aceh.
Kumpulan Luna Riverie yang terdiri daripada tiga pelajar Program Sarjana Muda Pendidikan Geografi (AT33), Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) iaitu Nurul Asfalaila Eizaty Mohd Rizal, Janet Wandy Wan Joseph dan Mohd Sualleh Umar menunjukkan prestasi luar biasa apabila menjadi satu-satunya wakil dari luar negara yang layak bertanding pada pusingan akhir (grand final).

Antara pasukan yang menyertai pertandingan inovasi ini termasuklah dari Jepun, Thailand, Malaysia dan Indonesia dengan jumlah penyertaan lebih 100 orang pelajar prasiswazah.
Nurul Asfalaila, selaku ketua pasukan yang merupakan pelajar semester 7 di FSK dan dua ahli pasukannya yang lain mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pengurusan universiti terutamanya JHEPA kerana menyediakan kemudahan tiket penerbangan, insuran serta elaun makanan sepanjang tempoh pertandingan.
Kemenangan dalam pertandingan inovasi U-DARE 2.0 ini membuktikan bahawa AKSB bukan kaleng-kaleng seperti yang selalu diuar-uarkan oleh Naib Canselor, Prof Dato Md Amin Md Taff.
Masih banyak ruang harus diteroka, terutamanya peluang menyertai pertandingan pada peringkat antarabangsa supaya pelajar boleh membentuk jati diri dan berdaya saing.
Sementara itu, Prof Madya Dr Kamarul Ismail selaku penyelia kepada para pelajar tersebut berkata, pertandingan pada peringkat antarabangsa dan membuat pembentangan dalam bahasa Inggeris mampu meningkatkan kemahiran komunikasi, membentuk keyakinan diri mahasiswa, membuka pola pemikiran, idea dan jaringan pada skala global.

Beliau mengucapkan berbanyak terima kasih kepada UPSI, JHEPA dan pengurusan FSK kerana membantu mempercepatkan kelulusan bajet dan kelulusan perjalanan keluar negara kerana keputusan kelayakan ke pertandingan akhir diumumkan pada tempoh masa yang singkat.
Team dari UPSI bertanding dalam kategori Disaster Education Media yang melibatkan pengaturcaraan dan gamifikasi berkaitan dengan bencana banjir dalam permainan Roblox.


Mereka berjaya mengalahkan beberapa pasukan universiti dari Indonesia dan berjaya membawa pulang trofi, hadiah kemenangan dan biasiswa berjumlah 14,000,000 rupiah.
Semoga kemenangan ini menjadi motivasi kepada AKSB yang lain untuk terus menyertai dan memenangi anugerah pada peringkat antarabangsa di masa hadapan