Oleh: Maythinee Eh Chium
Tanjong Malim, 16 Oktober 2024 – Program ‘Jalinan Mesra Felo’ khusus untuk penghuni blok kediaman 4 telah diadakan dengan jayanya bagi memperkukuh hubungan antara penghuni dan felo blok di Dewan Kolej Harun Aminurrashid.
Program ini bertujuan untuk memperkenalkan penghuni baharu kepada felo blok dan barisan ahli jawatankuasa blok 4 serta memberi ruang kepada mereka untuk memahami peraturan, prosedur kebajikan, dan keselamatan di KHAR.
Program ini turut diketuai oleh felo blok 4, Dr. Maskanatul Fiqiyah dalam menyampaikan taklimat mengenai peraturan kolej, memberi pencerahan tentang hak dan tanggungjawab sebagai penghuni, serta prosedur berkaitan kebajikan yang harus dipatuhi oleh semua.
“Saya berhasrat agar setiap penghuni blok kediaman 4 dapat menjalani kehidupan di kolej seperti sebuah keluarga besar, di mana setiap individu saling menghormati, membantu, dan menjaga kebajikan antara satu sama lain.
“Saya juga berharap agar nilai persaudaraan yang kukuh dapat diterapkan agar suasana harmoni dan kebersamaan dapat terus dipupuk dalam komuniti kolej.” katanya dalam ucapan pembukaan.
Sesi ice breaking turut diadakan sebagai pembuka program, di mana felo blok 4 telah memimpin aktiviti interaktif yang melibatkan semua penghuni.
Salah satu aktiviti menarik ialah sesi memicit bahu rakan di hadapan dan belakang, yang bukan sahaja mencetuskan suasana mesra dan santai tetapi juga membantu merapatkan hubungan antara penghuni. Aktiviti ini bertujuan untuk memupuk keakraban dan mewujudkan suasana harmoni dalam kalangan peserta.
Di samping itu, Dr. Maskanatul Fiqiyah turut memberikan taklimat berkaitan konsep 5S, yang merangkumi lima prinsip utama: Sort (Seiri), Set in Order (Seiton), Shine (Seiso), Standardize (Seiketsu), dan Sustain (Shitsuke).
Beliau menekankan bahawa amalan 5S ini penting untuk memastikan suasana tempat tinggal yang kemas, teratur, dan bersih, sekaligus membantu mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi kehidupan dan pembelajaran di blok 4.
Penerapan sistem 5S ini juga diharap dapat menjadi amalan harian setiap penghuni dalam menjaga kebersihan dan keselesaan kediaman.
Program ini turut dimeriahkan dengan persembahan tarian dan nyanyian yang menampilkan bakat-bakat terpendam penghuni blok 4. Sorakan dan tepukan gemuruh daripada penonton membuktikan semangat kebersamaan dalam kalangan penghuni.
Persembahan ini bukan sahaja menghiburkan tetapi juga menjadi platform untuk penghuni blok 4 menunjukkan bakat seni mereka sambil mengeratkan lagi hubungan antara penghuni dan felo.
Menurut Aini Syahida selaku Ketua Blok Kediaman 4, menekankan kepentingan mewujudkan komuniti yang harmoni dalam kalangan penghuni blok 4 dengan semangat saling menghormati dan bekerjasama.
Aini Syahida turut mengingatkan bahawa sokongan antara satu sama lain adalah kunci kepada kehidupan yang sejahtera di kolej, di samping menyeru agar setiap penghuni aktif menyumbang terhadap kesejahteraan blok kediaman mereka.
Secara keseluruhannya, ‘Jalinan Mesra Felo Blok 4’ ini berjaya mencapai objektifnya dalam memupuk hubungan erat antara felo dan penghuni. Program ini bukan sahaja memberi pendedahan kepada penghuni mengenai peraturan dan hak kebajikan mereka, tetapi juga mengeratkan hubungan silaturrahim sesama penghuni blok kediaman.
Akhir kata, Dr Maskanatul Fiqiyah juga berharap agar program ini dapat diteruskan secara berkala bagi memastikan hubungan yang terjalin terus kukuh dan harmoni, sesuai dengan visi KHAR bagi melahirkan mahasiswa yang seimbang dari segi akademik, kokurikulum, dan sahsiah diri.