Oleh: Shahidatul Akhirah
Tanjong Malim, 9 Oktober 2024 – Ketua Blok kediaman 1 bersama-sama dengan Ahli Jawatankuasa blok 1 bagi sidang 2024/2025 menganjurkan program Sesi Mesra Felo Bersama Penghuni Blok 1 yang dikenali sebagai blok “Arabella”.
Tujuan program ini dilaksanakan untuk mengeratkan hubungan antara penghuni-penghuni Blok “Arabella” termasuklah majlis jawatankuasa tertinggi kolej, ahli jawatankuasa kolej dan juga felo blok “Arabella” iaitu Encik Hazman Yaakob.
Program ini telah dirancang dengan baik oleh Ketua Blok “Arabella” dengan kerjasama Penyelaras blok kediaman dan Ahli Jawatankuasa Blok Kediaman.
Ketua Blok “Arabella”, Nurul Ain Fatehah Abdul Rahim,mengalu-alukan kedatangan penghuni blok “Arabella” dan berharap agar semua penghuni dapat menjalinkan hubungan yang erat tanpa mengira latar belakang.
Selain itu, beliau juga mengharapkan tiada jurang yang besar antara semua penghuni agar dapat bekerjasama dengan baik sepanjang menjadi penghuni kolej kediaman tersebut. Ain Fatehah turut menerangkan maksud nama “Arabella” yang membawa maksud kecantikkan.
Penyelaras Blok ‘Arabella’, NurShafiqa Shahrun Nizam, turut hadir bagi menyemarakkan lagi program Sesi Mesra Felo Bersama Penghuni Blok “Arabella”. Beliau turut berterima kasih kepada AJK yang bertungkus-lumus menjayakan program ini dan para penghuni yang turut hadir bagi memeriahkan program tersebut.
Penyelaras Program, Shafiqa merangkap sebagai Timbalan Yang Dipertua Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid telah berkongsi pengalaman beliau dalam bidang kepimpinan dan sedia untuk membantu pelajar yang berminat ke arah kepimpinan bagi mengembangkan bakat mereka ke peringkat yang lebih tinggi.
Menurut beliau, program ini bukan hanya sekadar untuk sesi perkenalan sahaja namun program ini juga ingin memberi pendedahan dan menyeru semua penghuni blok “Arabella” agar berani untuk menyerlahkan bakat mereka sama ada nyanyian, sukan, pengacara majlis dan sebagainya.
Sesi perkenalan Majlis Mahasiswa Kolej yang menetap di blok “Arabella” dan semua Ahli Jawatankuasa blok “Arabella”.
Sepanjang program ini berlangsung, telah diceriakan beberapa persembahan daripada penghuni “Arabella” yang disampaikan oleh Nur Ilia Irdina Mohd Sabri, Nurul Sufi Sufa’a Mohamad Nizam, Avioletha Anne Jackpira, Diana Ng dan Lee Mei Ying serta terdapat juga cabutan bertuah bagi memeriahkan lagi program tersebut.
Persembahan nyanyian telah memberi peluang kepada penghuni yang ingin menonjolkan bakat mereka dalam bidang tersebut. Tambahan pula, ia dapat meningkatkan keyakinan dalam diri setiap para penghuni yang membuat persembahan untuk berhadapan dengan khalayak ramai.
Turut hadir, Felo blok “Arabella”, Encik Hazman bagi program sesi Mesra Felo bersama Penghuni Blok “Arabella”.
“Saya berharap agar semua penghuni berani menyahut cabaran dan menonjolkan diri dengan penuh keyakinan serta berani mengambil langkah ke hadapan. Menonjolkan diri adalah tentang menunjukkan potensi yang ada dan mencipta peluang yang lebih baik.
“Semoga setiap individu di sini berusaha untuk menjadi versi terbaik dari diri mereka dan memberi impak positif kepada masyarakat”, ujarnya.
Di samping itu, beliau juga menerangkan mengenai peraturan-peraturan kolej di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) serta hukuman yang akan dikenakan sekiranya penghuni melanggar peraturan tersebut. Beliau juga menasihati penghuni- penghuni khususnya pelajar perempuan untuk sentiasa menjaga pergaulan dan maruah diri.
Program Sesi Mesra Felo Bersama Penghuni “Arabella”, telah berjalan dengan lancar. Sambutan kalangan penghuni “Arabella” sangat memuaskan.
Kehadiran dan kerjasama semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini menunjukkan bahawa hubungan silaturrahim boleh dieratkan dengan keterlibatan para penghuni melalui program yang dilaksanakan khususnya apabila melibatkan penghuni yang kepelbagaian bangsa dan kaum.