Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara Malaysia, En. Ahmad Faedzal Md Ramli (kiri) bersama Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff. (kanan) dalam sesi pertukaran surat Memorandum Persetujuan (MoA)Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara Malaysia, En. Ahmad Faedzal Md Ramli (kiri) bersama Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff. (kanan) dalam sesi pertukaran surat Memorandum Persetujuan (MoA)

Oleh: Bazli Razak

Bukit Jalil, 23 Oktober 2024 – Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan (FSSK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) diiktiraf sebagai salah sebuah Pusat Satelit Institut Sukan Negara bersempena dengan Program ISNext 2024 yang diadakan di Dewan Perdana, ISN Bukit Jalil.

Majlis ini disempurnakan oleh Menteri Kementerian Belia dan Sukan Malaysia, YB Hannah Yeoh setelah majlis penyerahan plak pengiktirafan FSSK UPSI sebagai Pusat Satelit ISN yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara Malaysia, En. Ahmad Faedzal Md Ramli kepada Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff.

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff menerima plak pengiktirafan FSSK UPSI sebagai Pusat Satelit ISN yang disampaikan oleh Menteri Kementerian Belia dan Sukan Malaysia, YB Hannah Yeoh

Hannah Yeoh berkata dalam ucapan beliau bahawa melalui pengiktirafan FSSK UPSI sebagai Pusat Satelit ISN membolehkan FSSK menyumbang terhadap pembangunan sukan negara dari aspek bantuan perkhidmatan Sains Sukan kepada atlet bagi meningkatkan prestasi sukan mereka ke tahap optimum.

Katanya, Pusat Satelit ISN berperanan sebagai hab bagi menjalankan kajian dan penyelidikan dalam sains sukan, teknologi sukan serta memberikan perkhidmatan dalam sains sukan dan mengembangkan teknologi sukan.

Menteri Kementerian Belia dan Sukan Malaysia, YB Hannah Yeoh dalam ucapan perasmian

Tambah beliau, melalui Memorandum Persetujuan (MoA) antara UPSI dengan ISN juga bakal meningkatkan tahap keberadaan FSSK dalam kalangan organisasi sukan bertaraf nasional, meningkatkan peluang pelajar menjalani Latihan Industri dan meningkatkan jumlah penyelidikan dan penerbitan.

Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata melalui kolaborasi antara UPSI dan ISN memberi kesan postitif dan membantu meningkatkan ranking dan tahap keberadaan UPSI.

“Melalui kolaborasi ini, UPSI akan memperolehi pertukaran idea tentang pengendalian atlet pelajar dari aspek akademik dan penglibatan sukan dan pengurusan sukan serta pertambahan penyelidikan dan penerbitan secara bersama.

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff bergambar bersama Menteri Kementerian Belia dan Sukan Malaysia, YB Hannah Yeoh serta pengurusan tertinggi ISN dan tetamu yang hadir

Katanya, jalinan kerjasama ini akan meluaskan jaringan hubungan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa serta meningkatkan penyelidikan dan penerbitan Scopus.

“UPSI sentiasa komited untuk memastikan pembangunan kemajuan dan kecemerlangan sains dan teknologi sukan negara serta melahirkan atlet bertaraf dunia melalui penerapan elemen sains sukan bermula dari peringkat akar umbi sehingga menjadi atlet bertaraf dunia,” ujar beliau.