Tanjong Malim, 23 Oktober 2024- Institut Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami (IPTTI), Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK) sentiasa mencari peluang dan meneruskan usaha untuk menjalinkan hubungan dengan institusi di peringkat antarabangsa. Delegasi dari Hayrat Malaysia mengunjungi Institut Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami (IPTTI) FSK.

Delegasi Hayrat Malaysia terdiri dari Ustaz Sadiq Ozata Presiden Hayrat Malaysia, Ustaz Mohd Syafiq Md Shafii selaku CEO Hayrat Malaysia dan Ustaz Hazwan selaku ahli jawatankuasa. IPTTI pula diwakili oleh Prof Dr Azmil selaku Pengarah, Prof Madya Dr Abdul Hadi Borham Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi FSK, Prof Madya Dr Husna Husain Ketua Jabatan, Prof Madya Dr Ibrahim Hashim, Dr Nur Ainul Basyirah dan guru-guru tahfiz.

Pertemuan ini bertujuan untuk menjalinkan hubungan antara IPTTI dan Hayrat Malaysia dengan membincangkan aktiviti-aktiviti yang bersesuaian berkaitan bidang penyelidikan, pendidikan, dakwah, program pelajar serta kebajikan masyarakat. Pelbagai peluang telah dikenalpasti dari perbincangan yang diadakan antaranya pemeteraian MoU, program sangkutan pensyarah, program mobiliti pelajar, penerbitan buku dan perbincangan ilmiah Risalah Al-Nur. Perbincangan susulan akan diadakan antara kedua-dua belah pihak pada masa yang akan ditentukan nanti.

Hayrat Malaysia adalah cawangan Hayrat Foundation berpusat di Turkiye yang memiliki 20 cawangan di seluruh dunia. Yayasan ini sehingga kini memayungi ratusan NGO dan telah menjalankan pelbagai aktiviti di lebih 40 buah negara di dunia. Hayrat Foundation juga menfokuskan kepada penyebaran dakwah melalui Risalah Al-Nur yang ditulis oleh tokoh besar Islam Turkiye,  Badiuzzaman Said Nursi dengan mencetak dan menyebarkan mashaf al-Quran dan penterjemahan Risalah Al-Nur dalam pelbagai bahasa di sunia. Hayrat Foundation juga sangat aktif menjalankan pelbagai program kebajikan di seluruh dunia termasuklah bantuan ke Palestin, Syiria dan negara-negara berkonflik yang lain.