Oleh: Dr Nor Fadila Kasim
FELDA BESOUT 2, 27 November 2024 – Program komuniti “Moh Kome, Kita Bersenam” anjuran Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan (FSSK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), membuktikan kejayaan cemerlang sebagai salah satu inisiatif di bawah Geran KTP Perak Sejahtera yang disalurkan melalui Pusat Penyelidikan dan Inovasi Pengkomersialan (RMIC).
Dengan matlamat utama meningkatkan kesejahteraan warga emas, program ini menjadi platform untuk menyemai kesedaran kesihatan, selain memupuk hubungan erat antara pelajar UPSI dan masyarakat FELDA.
Program yang berlangsung di Dewan FELDA Gunung Besout 2 ini menyaksikan penyertaan 100 warga emas dan penduduk setempat, serta sokongan padu daripada 38 pelajar UPSI, terdiri daripada 10 pelajar ISMP Coaching (AT43) dan 28 pelajar ISM Rehabilitasi Sukan (AS72).
Program ini turut dirasmikan oleh Pengurus FELDA Gunung Besout 2, En. Izwan Hadi Sabari dan mendapat kehadiran istimewa daripada Ahli Lembaga Pengarah UPSI (LPU), En. Zaidi Aziz.
Program ini memperkenalkan SITEX (Sitting Exercise), kaedah senaman unik yang direka khusus untuk warga emas. SITEX menekankan pergerakan mudah tetapi efektif yang boleh dilakukan di rumah tanpa memerlukan peralatan berat.
Melalui sesi demonstrasi dan bimbingan secara langsung, warga emas diajar cara mengekalkan kecergasan fizikal mereka secara konsisten, selaras dengan kemampuan fizikal masing-masing.
Selain itu, pemeriksaan kesihatan turut dijalankan bagi menilai tahap kecergasan peserta. Pemeriksaan ini membantu memberikan maklum balas berguna tentang tahap mobiliti, kekuatan, dan keseimbangan tubuh. Ini adalah langkah proaktif bagi memastikan warga emas dapat menjalani kehidupan yang lebih berkualiti.
Melalui penglibatan 38 pelajar dari dua program akademik, program ini juga berjaya menyuntik nilai kemanusiaan dan empati kepada golongan muda.
Pelajar bukan sahaja memainkan peranan sebagai fasilitator dan tenaga pengajar, tetapi juga berpeluang mendekati golongan warga emas untuk memahami keperluan dan cabaran yang mereka hadapi.
Ahli projek ini, Dr. Fairus Fariza menegaskan bahawa pengalaman ini penting dalam membentuk pelajar UPSI sebagai individu yang bukan sahaja kompeten secara profesional tetapi juga memiliki jiwa yang prihatin.
Program ini turut diterajui oleh barisan akademik termasuk ketua program, Dr Nor Fadila Kasim, Dr. Neni Widiasmoro, dan Dr. Mohd Azrul Anuar, yang memberikan sokongan penuh sepanjang program berlangsung.
Program ini turut mendapat sambutan baik daripada pemimpin tempatan dan wakil industri. Kehadiran Ketua Peneroka FELDA Gunung Besout 2, En. Yusman Yusof serta Pengerusi GPW FELDA Gunung Besout 2, Puan Hjh Khatijah Awang Desa, , melambangkan sokongan komuniti terhadap inisiatif seperti ini. Selain itu, Puan Shahaiza, wakil daripada Pertubuhan Kebajikan Pelbagai Kaum, dan GoCoach Sdn Bhd sebagai wakil industri turut memberikan sumbangan bermakna dalam menjayakan program ini.
En. Izwan Hadi Sabari dalam ucapannya menzahirkan penghargaan kepada pihak UPSI dan Geran KTP Perak Sejahtera kerana menganjurkan program yang bukan sahaja memberi manfaat kepada warga emas tetapi turut mencetuskan perubahan positif kepada komuniti FELDA secara keseluruhan.
Geran KTP Perak Sejahtera yang disalurkan melalui RMIC UPSI telah memainkan peranan besar dalam menjayakan program ini.
Sokongan dana ini memungkinkan pelaksanaan pelbagai aktiviti yang dirancang secara teliti, termasuk penyediaan bahan rujukan senaman, pemeriksaan kesihatan, dan penglibatan fasilitator profesional.
Menurut Puan Shahaiza Md Khir, Presiden Pertubuhan Kebajikan Pelbagai Kaum Perak, “Program ini adalah satu inisiatif yang sangat baik untuk masyarakat, terutamanya golongan warga emas.
Aktiviti seperti ini bukan sahaja mempunyai elemen kesihatan, tetapi juga membawa kegembiraan kepada warga emas.” Beliau turut menekankan bahawa lebih banyak program seperti ini perlu diadakan pada masa hadapan untuk terus memberi manfaat kepada masyarakat.
Prof Madya Dr. Fatimah Salwa, Penyelaras Perundingan dan Inovasi RMIC, semasa lawatannya ke program ini menyatakan sokongan penuh terhadap usaha seperti ini .
Menurut beliau, program ini bukan sahaja mendapat sambutan luar biasa daripada masyarakat setempat, tetapi juga memberikan impak positif yang nyata kepada golongan warga emas.
Beliau menambah, “Program seperti ini mencerminkan keberkesanan model pemindahan ilmu daripada pakar UPSI kepada komuniti.
Inisiatif ini menunjukkan bagaimana kepakaran universiti dapat dimanfaatkan untuk meningkatkan kesejahteraan masyarakat, khususnya melalui program knowledge transfer yang berstruktur dan berimpak tinggi.”
Maklum balas yang diterima daripada peserta adalah sangat positif. Rata-rata peserta menyatakan bahawa mereka merasa lebih bersemangat untuk mengamalkan gaya hidup sihat selepas mengikuti program ini.
Program “Moh Kome, Kita Bersenam” berakhir pada jam 2 petang dengan suasana yang penuh ceria. Ia jelas menunjukkan bahawa inisiatif seperti ini adalah langkah penting ke arah kesejahteraan masyarakat, terutamanya dalam kalangan warga emas.
UPSI mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Geran KTP Perak Sejahtera dan RMIC atas sokongan padu mereka. Tanpa dana ini, program sebegini tidak akan dapat dijayakan dengan sempurna.
UPSI juga berharap agar lebih banyak program komuniti seperti ini dapat dilaksanakan pada masa hadapan, sejajar dengan misi universiti untuk menyumbang kepada pembangunan sosial dan kesejahteraan rakyat.