Oleh: Nurul Farhana Ab Aziz & Dr. Sumayyah Aimi Mohd Najib

Tanjung Malim, 15 Disember 2024 – Persatuan Geografi (PERGEO) dari Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK),Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menganjurkan program Kembara Menyingkap Keindahan Pokok-pokok Unik. Program ini dilaksanakan bersempena sambutan Hari Tanah Sedunia yang disambut pada 5 Disember setiap tahun.  Program ini diurus dan dikendalikan oleh Yang DiPertua Persatuan Geografi Muhammad Syafiq Razali dan Setiausaha Persatuan Geografi bagi sidang 2024/2025 , Anis Suraya Muhammad.

Program ini dilaksanakan di Seeds Bank Behrang Ulu, lebih kurang 12 km ke utara dari pekan Tanjung Malim melalui Bandar Proton. Seeds Bank merupakan tempat di mana benih pokok dari pelbagai spesies disimpan untuk memelihara kepelbagaian genetik pada masa hadapan . Biji benih kebiasaannya akan disimpan pada kelembapan yang rendah dan dalam keadaan sejuk supaya dapat memelihara benih. Ia merupakan usaha untuk memulihara spesies supaya tidak mengalami kemusnahan dan kepupusan.

Antara pokok-pokok unik di Seeds Bank Behrang Ulu

Seramai 21 orang peserta telah menyertai program ini dan diiringi oleh dua orang pensyarah dari Jabatan Geografi iaitu Dr Sumayyah Aimi Mohd Najib dan Dr Nor Shahida Azali sepanjang program ini dijalankan. Tujuan program ini dilaksanakan adalah untuk memberi pendedahan dan kesedaran kepada mahasiswa tentang kepelbagaian dan keindahan pokok-pokok unik yang ada di sana. Di Seeds Bank Behrang Ulu ini mempunyai beribu spesies pokok dari berbagai negara dan negeri telah ditanam contohnya rainbow tree, pokok pinang akar jangkang, orkid harimau, tualang putih, rambai istana dan sebagainya. Dengan keunikan biodiversiti kawasan ini, terdapat tujuh spesis burung enggang hinggap di pokok dan di kawasan ini.

Pokok-pokok unik seperti tualang putih dan pokok pinang akar jangkang

Program ini dimulakan dengan taklimat daripada Ts. Dr. Santharasekaran A/L Subramaniam atau dikenali sebagai Dr Segar. Beliau merupakan Pengasas dan Presiden Persatuan Pemuliharaan Persekitaran Malaysia dan Asia Pasifik. Beliau telah memberi taklimat ringkas berkenaan asal-usul Seeds Bank Behrang Ulu dan pokok-pokok unik yang terdapat di sana. Beliau turut menyatakan bahawa beliau sangat gembira sekiranya terdapat program yang dilaksanakan di sana kerana dapat membuka minda mahasiswa tentang kepentingan memulihara spesies pokok. Dalam pada itu, Dr. Segar juga banyak menerangkan tentang jenis-jenis dan nama pokok unik yang terdapat di sana. Hal ini sangat membantu mahasiswa tentang kepelbagaian spesies pokok yang terdapat di dunia.

Melalui pelaksanaan Program Kembara Menyingkap Keindahan Pokok-pokok Unik sememangnya mampu memberi impak dan motivasi kepada mahasiswa UPSI dalam menghargai keunikan pokok-pokok yang terdapat di Seeds Bank. Seeds Bank di Behrang Ulu seharusnya dijadikan sebagai pusat kajian dan penyelidikan penyelidik atau mahasiswa universiti. Seeds Bank Behrang Ulu merupakan hutan Mega-Biodiversiti antara hutan buatan terbesar di Asia Tenggara seharusnya dikekalkan sebagai khazanah dunia supaya keunikan pokok yang kita lihat pada hari ini dapat dilihat oleh generasi akan datang.