Oleh: Nur Athirah Anuar

Tanjong Malim, 15 Disember 2024– Program Sakura Open Day dengan taglineStep into the Charm of Sakura’ dikendalikan dengan jayanya oleh Exco Blok Kediaman 3 Sakura, Kolej Harun Aminurrashid (KHAR) sidang 2024/2025, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Program Sakura Open Day ini bermatlamatkan memupuk dan memperkasakan nilai keusahawanan dalam diri penghuni kolej khususnya KHAR serta mengukuhkan semangat kebersamaan dan kemasyarakatan seluruh warga UPSI dengan mewujudkan suasana mesra dan harmoni selain memperkukuhkan perpaduan antara satu sama lain.

Program ini telah berjaya menarik perhatian penghuni kira-kira 250 orang yang hadir dari pagi hingga ke petang  menjadi pengunjung melalui pelbagai pengisian menarik yang disediakan kepada para penghuni seperti pertandingan dekorasi booth tercantik dan pertandingan Chef on Fire. Para penghuni juga diberikan ruang untuk berniaga produk jualan mereka seperti makanan, minuman, pakaian, kosmetik dan apa jua produk niaga. Tambahan, ada juga produk yang dijual oleh AJK Blok Sakura iaitu jualan pakaian preloved dengan konsep “murah dan jimat”. Semua jualan mendapat sambutan yang baik daripada penghuni, bukan sahaja KHAR malah dari kolej kediaman yang lain juga.

Kemeriahan program ini telah dirasmikan dengan baik oleh felo penasihat iaitu felo Blok Sakura, Norrulkamari Daud bersama felo blok kediaman yang turut hadir bagi meraikan program majlis penutup. Melalui ucapan perasmian, apa yang ditekankan adalah elemen keusahawanan itu penting kepada mahasiswa/i, kerana itu adalah nilai tambah kepada pelajar dalam mengasah kemahiran terutama dalam bidang keusahawanan. Jadi, platform ini lah sangat membantu mahasiswa menjana pendapatan dan meningkatkan ekonomi melalui titik peluh sendiri dengan keativiti masing-masing.

Manakala Pengetua kolej KHAR, Dr. Hj. Che Anuar Abdullah berpendapat, sememangnya program yang dilaksanakan pada cuti hujung minggu sebegini memberi peluang yang baik kepada mahasiswa/i untuk menyertai aktiviti ini di samping membina hubungan bermasyarakat yang baik sesama penghuni di kolej kediaman ini.

Selain itu, Pengarah Program Sakura Open Day, Nurin Rozaini Azreen, dalam ucapannya, mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dan berharap agar program ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang sebagai wadah mempererat hubungan dan memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan mahasiswa UPSI.

Program ini berjaya mencapai objektifnya apabila para peserta dan yang hadir berpeluang untuk berinteraksi, bertukar pandangan, berkongsi idea, membina kreativiti, memupuk nilai keusahawanan dan membina hubungan yang lebih baik sesama mereka. Suasana harmoni yang tercipta sepanjang program ini dapat menyemai semangat kebersamaan serta memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan penghuni.

Majlis penutup telah diakhiri dengan sesi penyampaian hadiah kepada pemenang bagi pertandingan dekorasi booth tercantik dan pertandingan Chef on Fire termasuk cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah menarik yang menambah keceriaan suasana. Sebelum bersurai, sesi fotografi beramai-ramai sebagai kenang-kenangan pada semua.

Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada pengarah program dan seluruh ahli jawatankuasa pelaksana atas usaha dan dedikasi dalam menjayakan program ini dengan sangat effective. Sambutan yang sangat menggalakkan menunjukkan kejayaan program ini sebagai platform yang positif dan bermakna buat komuniti UPSI khususnya warga Kolej Harun Aminurrashid.