Oleh: Pn. Maznah Othman

TANJONG MALIM, 13 Disember 2024 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mencatat sejarah gemilang apabila berjaya merangkul Anugerah Emas dan dinobatkan sebagai Johan Kategori Pentadbiran dalam Virtual Innovation Competition Exhibition (VICE 2024), yang berlangsung secara dalam talian dari 7 Oktober hingga 13 Disember 2024.

Kejayaan ini dicapai melalui sistem inovatif GeoAttendance, yang memanfaatkan teknologi geolocation untuk merekodkan kehadiran program universiti.

Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, sistem ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan perekodan kehadiran, tetapi juga memastikan ketepatan yang lebih tinggi serta mengurangkan risiko kesilapan atau penipuan.

“Kejayaan ini merupakan bukti bahawa UPSI terus menerajui inovasi dalam dunia pendidikan. Sistem GeoAttendance adalah contoh bagaimana teknologi dapat dimanfaatkan untuk meningkatkan keberkesanan pentadbiran universiti.

Beliau turut memuji usaha pasukan yang terlibat dalam menghasilkan inovasi berimpak tinggi itu.

“Pasukan dari UPSI ini telah menunjukkan dedikasi luar biasa dalam menghasilkan solusi yang bukan sahaja berkesan tetapi turut diiktiraf di peringkat nasional dan antarabangsa.

“Ini adalah hasil kerja keras dan kolaborasi hebat antara pelbagai pihak di UPSI.

Kejayaan luar biasa ini adalah hasil kolaborasi antara Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi bersama Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi.

“Ketua kumpulan projek, Ts. Abdul Mueiz Rosli, bersama ahli kumpulannya, Ts. Dr. Megat Azrin Ahmad, Dr. Ahmad Wiraputra Selamat, dan En. Prabu Tharmalingam, memainkan peranan penting dalam menjayakan inovasi ini.

Sistem GeoAttendance turut meraih pengiktirafan di pelbagai platform lain, termasuk Gold Award dalam International Innovation ARSVOT Malaysia 2024 (IAM2024), Pingat Perak di Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Universiti Awam ke-17, serta tempat ketiga dalam Bidang Sosial (Kategori Terbuka) pada Pertandingan KIK Peringkat Negeri Perak.

“Kami di UPSI sentiasa komited untuk meneroka teknologi baharu bagi memacu kecemerlangan akademik dan pentadbiran.

“Kejayaan ini adalah bukti nyata bahawa inovasi dan pendidikan dapat digabungkan untuk mencapai hasil yang luar biasa,” ujar beliau.