Oleh: Hairul Azmi Rohaizad
Tanjong Malim, 13 Disember 2024 – Fakulti Pendidikan Ekonomi (FPE), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menganjurkan program Treasure Hunt Explorace dengan jayanya pada Jumaat lalu. Acara ini berlangsung di sekitar Blok 10 FPE mendapat sambutan hangat daripada warga fakulti. Seramai 80 orang peserta telah menyertai program ini.
Program Treasure Hunt Explorace FPE dirancang untuk mencapai beberapa objektif utama, termasuk memupuk semangat kerjasama, kreativiti, dan kecergasan fizikal. Peserta dibahagikan kepada beberapa pasukan yang terdiri daripada lima orang ahli. Setiap pasukan diberi petunjuk untuk memulakan perjalanan mereka melalui pelbagai stesen cabaran yang memerlukan gabungan kecerdasan minda dan kekuatan fizikal.
Program dimulakan dengan taklimat keselamatan dan penerangan oleh pihak penganjur sebelum pasukan diberi petunjuk pertama untuk memulakan cabaran. Setiap stesen menawarkan pelbagai tugasan menarik yang menguji kemahiran minda dan fizikal.
Antara cabaran yang mencuri tumpuan ialah aktiviti Teka Silang Kata Ekonomi di mana peserta diuji dengan soalan berkaitan ekonomi yang perlu diselesaikan dalam masa terhad. Stesen lain seperti Lari Ikat Kaki Berpasangan dan Pas Tepung pula menuntut koordinasi dan kepercayaan yang tinggi antara ahli pasukan, menjadikan suasana program lebih meriah.



Selain menguji daya tahan dan kecerdasan, Treasure Hunt Explorace FPE turut menjadi platform untuk merapatkan hubungan antara pelajar yang dar berlainan kos. Aktiviti-aktiviti santai tetapi mencabar ini membuka ruang untuk interaksi yang lebih akrab di luar suasana kerja dan pembelajaran formal.
Kemuncak program menyaksikan pasukan “The Quack” dinobatkan sebagai juara keseluruhan setelah berjaya menamatkan cabaran dengan pantas. Pasukan “Finance Freak” dan “Power Puff Girl” masing-masing memenangi tempat kedua dan ketiga. Sesi penyampaian hadiah berlangsung dalam suasana penuh semangat kesukanan.
Pengarah Program,Hairul Azmi Rohaizad berkata, “Terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan program ini. Beliau turut berharap agar Treasure Hunt Explorace ini dapat dijadikan acara tahunan yang lebih besar dan menarik pada masa akan datang.”
Selain itu selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), program ini juga menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG). Selari dengan SDG 3: Kehidupan Sihat dan Kesejahteraan, Treasure Hunt Explorace mempromosikan gaya hidup sihat melalui aktiviti fizikal yang mencabar tetapi menyeronokkan. Di samping itu, ia menyumbang kepada SDG 4: Pendidikan Berkualiti dengan menyuntik elemen pembelajaran tidak formal melalui aktiviti-aktiviti berbentuk teka-teki dan kuiz. Program ini juga mendukung SDG 17: Kerjasama untuk Mencapai Matlamat dengan menggalakkan semangat kerja berpasukan dan kerjasama antara peserta dari pelbagai latar belakang.
Secara keseluruhannya, program Treasure Hunt Explorace FPE 2024 bukan sahaja berjaya mencapai matlamatnya tetapi turut mencipta kenangan manis untuk semua yang terlibat. Dengan semangat kerja berpasukan dan komunikasi sebagai tunjang, acara ini diharapkan dapat terus memperkukuhkan hubungan warga fakulti dan membina komuniti yang lebih erat.

