Oleh: Nur Izzah Suhana Mohd Hanafi
Tanjong Malim, 14 DISEMBER 2024: Sempena Hari Terbuka Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE), Persatuan Perakaunan UPSI (UPSIAS) sidang 2024/2025 telah menganjurkan Pertandingan Video Pendek dan Fotografi FPE secara dalam talian pada 8 hingga 13 Disember 2024 dan majlis penyampaian hadiah diadakan secara bersemuka pada 14 Disember bertempat di Arena UPSI. Dua kategori diketengahkan iaitu video pendek dan fotografi yang mendapat enam penyertaan daripada mahasiswa FPE.
Tujuan program ini adalah untuk meningkatkan daya kreatif dan inovasi dalam kalangan mahasiswa FPE dan menonjolkan identiti fakulti.


Kreativiti Syed Ammar Uzair, pelajar Ijazah Sarjana Muda Perakaunan membuahkan hasil apabila dijulang sebagai Johan Pertandingan Video Pendek FPE manakala kumpulan The Accountaholics memenangi Pertandingan Fotografi FPE. Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Dr. Khalizul Khalid FPE diiringi oleh Pengarah Program Hari Terbuka FPE, Ng Zhen Fan Shankar.

Tema ‘FPE Leading Future Minds’ ditekankan sebagai syarat utama penyertaan dalam penghasilan video pendek dan fotografi. Persaingan sengit melalui idea, kaedah penyuntingan dan kepatuhan kepada tema mengasah lagi bakat yang dipendam oleh setiap peserta dengan hasil yang luar biasa.
Secara keseluruhannya, program ini telah mencapai Sustainable Development Goals 4 (SDG4) iaitu Pendidikan Berkualiti untuk memperkasa kemahiran pelajar melalui kreativiti, kolaboratif dan digital, selaras dengan perkembangan teknologi semasa.
Melalui penyertaan pertandingan ini, besarlah harapan agar semua mahasiswa/i akan lebih mengenali FPE, termasuk bidang-bidang pengajian yang ditawarkan serta peranan dalam membentuk graduan yang berdaya saing. Ini memberi peluang kepada mereka untuk memahami visi, misi dan nilai-nilai yang dijunjung oleh fakulti.
