Oleh: Wan Aiman Farhan Wan Harun

Tanjong Malim, 12 Disember 2024- Lebih 200 orang mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyertai program Munajat Perdana yang diadakan di Masjid Al-Mursyidin, Kampus Sultan Azlan Shah. Program kendalian Persatuan Pengurusan dan Ekonomi, Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (PPEFPE) ini diisi dengan pelbagai acara spiritual dan keagamaan seperti solat hajat, bacaan Yasin dan tahlil bersempena Hari Terbuka Fakulti Pengurusan dan Ekonomi.

FPE Bermunajat merupakan satu majlis solat hajat dan bacaan Yasin khusus buat Almarhum Prof. Madya Dr. Jamal@Nordin Yunus yang telah kembali ke rahmatullah pada 25 Oktober lalu. Doa dipinta semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh. Dalam masa yang sama, majlis ini juga menjadi salah satu usaha PPEFPE untuk menggalakkan mahasiswa untuk mendekatkan diri kepada Yang Maha Berkuasa dan sentiasa bersedia untuk dijemput Ilahi.

Para jemaah berbuka puasa terlebih dahulu selepas berkumandangnya azan maghrib. Keistimewaan berbuka kali ini adalah daripada segi juadah berbuka puasa iaitu nasi beriani yang dimasak sendiri oleh Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni FPE, Dr Khalizul Khalid bersama staf dan pasukan sukarelawan dapur FPE. Suasan yang sangat meriah dapat dirasai apabila para jemaah makan bersama di dalam talam mengikut sunnah Nabi Muhammad. Setelah itu, para jemaah turut serta bersolat maghrib secara berjemaah diikuti dengan bacaan Yasiin dan tahlil arwah yang diketuai oleh Imam Muda Abu Bakar.

Semoga program ini mampu memberikan kesedaran dan keinsafan kepada semua jemaah yang hadir untuk terus beribadah hanya kepada Allah SWT meninggalkan semua larangan-Nya. Para jemaah juga akan berasa lebih gerun untuk bermaksiat kerana sesungguhnya kematian adalah sebaik-baik nasihat untuk semua manusia.