Oleh: Sayid Amer Izzuddin Ramli
Tanjong Malim, 12 Disember 2024 – Hari Terbuka Fakulti Pengurusan Ekonomi (FPE) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menjadi lebih bermakna dengan kehadiran ‘Dapur Muafakat FPE’, sebuah inisiatif kebersamaan yang berjaya menyatukan mahasiswa dan ahli akademik. Program ini merupakan hasil kolaborasi erat antara FPE dengan Masjid Al-Mursyidin UPSI. Bertujuan untuk menyemai semangat gotong-royong dan kepedulian sosial, acara ini berlangsung dari pukul 12 tengah hari hingga 9 malam.
Dapur Muafakat FPE menjadi salah satu tarikan utama dalam Hari Terbuka FPE. Dengan penglibatan seramai 42 ahli jawatankuasa dan sukarelawan yang terdiri daripada mahasiswa FPE, mereka turut dibantu oleh beberapa pensyarah serta pegawai pentadbir FPE. Berbekalkan semangat kerjasama dan dedikasi tinggi, semua pihak terlibat berganding bahu untuk menyediakan hidangan kepada pelajar yang hadir.


Perkarangan Masjid Al- Mursyidin meriah seiring dengan semangat kerjasama yang ditunjukkan oleh sukarelawan. Hidangan utama yang menjadi tarikan pada program ini ialah nasi Beriani, satu juadah istimewa yang dimasak sendiri dengan penuh dedikasi oleh Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Dr. Khalizul Khalid. Proses penyediaan ini bukan sekadar tugas biasa, malah Dr. Khalizul dengan penuh semangat kepimpinan turut berganding bahu bersama beberapa staf fakulti yang sama, memastikan setiap langkah penyediaan dilakukan dengan teliti dan penuh kasih sayang. Kehadiran beliau di dapur bukan sahaja menyuntik semangat muafakat, tetapi juga menjadi simbol kepimpinan yang merendah diri dan mementingkan kebersamaan dalam menjayakan program ini.
Sasaran agihan makanan kali ini adalah sebanyak 200 orang khususnya pelajar dan staf dari FPE. Agihan ini dirancang dengan penuh semangat gotong-royong dan kepedulian, memastikan semua orang dapat menikmati juadah yang disediakan dengan penuh rasa kekeluargaan. Setiap hidangan yang diberikan melambangkan usaha bersama, ikatan erat, dan semangat muafakat yang menjadi tunjang kepada komuniti fakulti.
Menurut Pengarah Program, Sayid Amer Izzuddin Ramli, “Konsep Dapur Muafakat ini bukan sahaja memberi peluang kepada mahasiswa untuk belajar tentang pengurusan dan koordinasi acara, tetapi juga untuk memahami nilai kebersamaan dan khidmat kepada masyarakat pada masa yang akan datang. Aktiviti ini juga bukan sekadar penyediaan makanan, malah menjadi wadah untuk memperkukuh ukhuwah dan menjalin hubungan yang lebih erat antara kakitangan dan pelajar FPE dan Masjid Al-Mursyidin.
Menjelang waktu Maghrib, mahasiswa yang hadir berpeluang menjamu selera bersama-sama, seiring dengan waktu berbuka puasa. Suasana berbuka ini menambah kemeriahan dan memperkukuh lagi semangat ukhuwah dalam kalangan warga fakulti.


Hari Terbuka FPE kali ini membuktikan bahawa apabila semangat kebersamaan dan kepedulian digerakkan, banyak manfaat yang dapat dinikmati bersama. Dapur Muafakat FPE bukan hanya sekadar aktiviti agihan makanan, tetapi juga simbol kesatuan, dedikasi, dan muafakat yang mencerminkan semangat warga UPSI.
Acara berakhir dengan ucapan penghargaan daripada pihak fakulti kepada semua sukarelawan dan pihak Masjid Al-Mursyidin yang bersama-sama menjayakan program ini. Semoga semangat muafakat ini akan terus mekar dan menjadi inspirasi kepada semua pihak untuk terus berbakti kepada masyarakat.
