Oleh: Mohd Fahmi Mohd Yunus

Tanjong Malim – Kreatif. Bermula dengan kreatif segalanya akan dikembangkan menjadi sebuah karya samada secara bertulis mahupun persembahan. Melihat kepada keperluan bagi menggalakkan dan membudayakan bidang sastera dalam kalangan warga Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) 15 Disember lalu Pusat Kebudayaan UPSI menganjurkan Bengkel Penulisan dan Deklamasi Puisi bertempat di Studio Tari, Blok A, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah. Bengkel yang terbahagi kepada dua slot iaitu Slot Teknik Penulisan dan Slot Deklamasi Puisi disertai oleh 16 peserta daripada pelbagai fakulti di UPSI.

Slot pertama dikendalikan oleh penceramah jemputan iaitu Prof. Madya Dr. Ghazali Din atau nama pena beliau Ihsan Noorzali, seorang penulis yang tidak asing lagi dalam bidang sastera. Dalam slot berdurasi dua jam beliau menyampaikan teknik-teknik penulisan puisi berserta contoh bagi mendapatkan inspirasi untuk asas penulisan puisi. Di samping itu beliau turut berkongsi pengalaman beliau sebagai penulis sejak tahun 1983 hingga kini dan potensi menjana kewangan melalui penulisan.

Slot kedua disambung oleh Saudari Elvienie Petrus memfokuskan teknik menterjemah puisi ke dalam bentuk persembahan. Sebagai seorang deklamator UPSI yang sentiasa meraih kejayaan di pelbagai peringkat dalam pertandingan seluruh Malaysia beliau memperkenalkan secara ringkas beberapa kategori persembahan antaranya sajak gaya GAPENA, Puisidra, Dekon dan Puisi Artistik. Slot diteruskan dengan sesi aktiviti dua hala bersama peserta dengan mengajak peserta menterjemah perkataan kepada pelbagai ekpresi dan intonasi mengikut kreativiti masing-masing.

“Dalam mendeklamasikan puisi kita tidak perlu takut untuk kelihatan jelek untuk tunjukkan memek muka kerana daripada penzahiran tersebutlah markah dinilai oleh juri dan kemahiran ini memerlukan latihan, keyakinan serta konsentrasi yang tinggi bagi seorang deklamator supaya para penonton dapat merasai luahan seorang deklamator dan maksud dalam deklamasi tersebut” ujar Elvienie. Tambah beliau, penganjuran sebegini mampu menarik minat golongan belia masa kini untuk mendalami bidang sastera yang sebelum ini hanya digemari oleh golongan minoriti sahaja dengan pendedahan kepada pelbagai jenis deklamasi puisi yang lebih moden dan bebas.

Bengkel berakhir sekitar jam 1.20 petang dengan sesi penyampaian cenderamata Sijil Penghargaan dan sesi fotografi peserta bersama penceramah jemputan.